Nagita dan Atta
Nagita dan Atta
Agensi

Jakarta: Esok adalah hari bersejarah buat pasangan Atta Halilintar dan Aurel Hermansyah yang akan disatukan sebagai suami isteri.

Bagaimanapun Atta mengakui mereka kerap berbalah pendapat dalam banyak hal membabitkan majlis perkahwinan mereka.

Perkara itu membuatkan pelakon Nagita Slavina tampil memberikan nasihat. 

Isteri kepada selebriti Raffi Ahmad menganggap hal itu wajar, tetapi perlu dikurangkan atau terus dihindari.

Perkara berkenaan didedahkan dalam video di saluran YouTube Rans Entertainment dengan judul 'Nagita Jadi Penengah, Perdebatan Atta dan Aurel Sebelum Pernikahan' yang ditayangkan pada 31 Mac lalu.

Nagita memberikan tips menasihatkan agar bakal pengantin itu untuk sentiasa rajin menunaikan solat dan berpuasa.

"Saya pernah beritahu Aurel sebelum ini, rajin berpuasa dan banyakkan solat hajat, tahajud serta taubat. Supaya sebelum hari pernikahan nanti, Insya Allah semuanya dalam keadaan baik.

"Apabila berpuasa ini, kita dapat menahan emosi dan membuang perasaan ego. Tujuannya agar sehat zahir dan batin," kata Nagita ketika Atta mengunjungi rumahnya baru-baru ini.

Nagita berkata, pengalamannya sendiri seminggu sebelum kahwin, dia sudah tidak terlalu memikirkan soal persiapan perkahwinnan.

"Saya tak mahu atur dan tak nak tahu. Saya serahkan semua kepada pasangan supaya sepakat dan supaya aura keluar semasa kahwin

"Saya sudah beritahu Aurel. Amalkan puasa setiap Isnin dan Khamis dari sekarang, terus banyakkan solat tahajud dan solat taubat. Jadi sebelum kamu menikah, insya Allah zahir dan batin dalam keadaan sihat," katanya. 

Terdahulu Atta mendedahkan perancangan untuk mengadakan majlis akad nikah di Masjid Istiqlal tapi terpaksa dibatalkan.

Sebaliknya mereka bakal dinikahkan dalam sebuah majlis di hotel mewah di Jakarta.

Pasangan ini bertunang pada 13 Mac lalu dalam satu majlis yang disiarkan secara langsung menerusi saluran televisyen Indonesia, RCTI.

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 April 2021 @ 12:51 PM