AUREL Hermansyah, 22, dilamar kekasihnya, Atta Halilintar.
AUREL Hermansyah, 22, dilamar kekasihnya, Atta Halilintar.
Agensi

SEJAK kisah penyanyi Aurel Hermansyah, 22, dilamar kekasihnya, Atta Halilintar pada 10 Julai lalu, perkembangan berita perhubungan mereka cukup menarik perhatian ramai.

Setiap hari, ada sahaja cerita mengenai fasa perhubungan Aurel dan Atta, 25, yang juga sensasi YouTube terkenal di Indonesia masa kini akan dikongsikan media.

Terbaharu, perancangan perkahwinan Aurel dan Atta turut mendapat perhatian daripada paranormal ternama Indonesia dikenali Mbah Mijan.

Menerusi kandungan video di saluran YouTube Mbah Mijan baru-baru ini, individu berkenaan meramal perjalanan kisah cinta Aurel dan Atta yang ada dugaannya.

"Apapun, pada awalnya saya lihat hubungan mereka mungkin settingan (dicipta) untuk kandungan siaran di YouTube. Namun, akhirnya saya fikir kedua mereka membuka hati.

"Ia berikutan, di awalnya memang saya lihat di antara mereka tiada aura keserasian. Jadi, barangkali mereka sekadar berkenalan rapat sahaja," katanya.

Mbah Mijan berkata kini, dia semakin faham apabila hubungan Aurel dan Atta adalah serius kerana mereka juga merancang untuk bernikah tidak lama lagi.

"Saya ucap bahagia dan gembira dengan perancangan mereka untuk bernikah. Cuma, ada aura negatif yang saya lihat pada sisi Atta.

"Aura negatif Atta itu menjurus pada kisah lalunya yang pernah dikait menjalin hubungan rapat dengan beberapa selebriti wanita dan akhirnya putus.

"Apapun, saya dari lahir dan batin berharap mudah-mudahan perancangan mereka berdua untuk bernikah tidak berdepan halangan. Semoga juga mampu mengharungi dugaan rumah tangga dengan sebaiknya nanti," kata Mbah Mijan.

Menurut Mbah Mijan lagi, dalam kehidupan manusia pasti ada masa lalu masing- masing. Begitu juga masa depan mereka. Apapun, semoga baik-baik sahaja.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Ogos 2020 @ 10:14 AM