ATTA dan Aurel bakal berkahwin pada 3 April ini.
ATTA dan Aurel bakal berkahwin pada 3 April ini.
Agensi :

Jakarta: 'Prank' atau cerita benar? Itulah persoalannya mengenai video yang dimuat naik YouTuber popular Indonesia, Atta Halilintar yang dikejutkan dengan kiriman wang daripada individu tidak dikenali, baru-baru ini sebagai hadiah perkahwinannya dengan Aurel Hermansyah pada 3 April ini.

Atta menerusi saluran YouTube mendedahkan dia menerima dua bungkusan plastik sampah yang dipenuhi dengan not Rp50,000 dan Rp100,000.

Dalam video itu, pada mulanya Atta kelihatan sedang membuka kotak hadiah perkahwinan daripada rakan-rakannya yang antaranya mengandungi lukisannya bersama Aurel dan kaligrafi ayat suci al-Quran.

Namun, Atta dikejutkan dengan kakitangannya yang tiba-tiba membawa masuk dua bungkusan plastik sampah yang disertakan dengan nota 'Hadiah Pernikahan Bro Atta Halilintar'.

Apabila dibuka mereka terkejut kerana ia berisi dengan wang tunai yang cukup banyak.

Atta juga keberatan menerimanya kerana tidak percaya ada individu sanggup memberikan wang yang banyak sebagai hadiah perkahwinannya.

Dia membuat keputusan memeriksa kamera litar tertutup (CCTV), namun wajah individu yang meletakkan bungkusan itu tidak kelihatan. Dia hanya kelihatan meletakkan dua bungkusan wang itu di depan pagar rumah Atta.

Atta seterusnya menghubungi keluarga terdekat dan rakan-rakannya sekiranya mereka berbuat demikian.

Dia juga menghubungi Koh Welly dari hotel tempat mereka berkahwin nanti dan pengacara, Hotman Paris, namun mereka menafikan berbuat demikian.

Atta juga menghubungi bakal isterinya untuk bertanyakan perkara ini.

"Boleh buat bekalan ke Dubai kerana di sana kosnya tinggi," kata Atta kepada kekasihnya.

Selepas berkahwin pasangan ini merancang berbulan madu ke Dubai.

Aurel pula berterima kasih kepada pengirim wang ini.

"Ya Allah rezeki, ya Allah terima kasih siapa pun yang mengirimnya," katanya menerusi telefon.

Atta mengambil keputusan menyimpan wang ini di rumahnya terlebih dahulu dan mahu mengetahui sumber wang terbabit dan siapa pengirimnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Mac 2021 @ 10:59 AM