CLAUDIA Kim
CLAUDIA Kim
Georgie Joseph


BERBEKALKAN profil gahnya dalam arena lakonan antarabangsa, Claudia Kim atau Soo Hyun pasti menjadi rebutan pelbagai agensi untuk menjadi artis naungan.

Bagaimanapun, Claudia akhirnya memilih YG Entertainment untuk mengurusnya.

Semestinya agensi terbabit sangat berbesar-hati mengalu-alukan penyertaan bintang filem Avengers: Age of Ultron itu.

Menerusi kenyataan rasminya, agensi itu tidak sabar membantu Soo Hyun melebarkan lagi sayapnya.

"Kami sangat gembira dapat menandatangani Soo Hyun yang berjaya menaikkan nama serta memperkenalkan lagi budaya Korea Selatan di mata dunia.

Kami merancang memperluaskan lagi kariernya sebagai pelakon.

"Walaupun mendapat permintaan tinggi daripada pelbagai pihak di seluruh dunia, kami ingin bantu mengemudi hala tuju kariernya. Kami berjanji akan membantunya dari pelbagai sudut supaya dia boleh lebih fokus dalam setiap aktiviti seninya," kata agensi itu.

Claudia mencuri perhatian peminat seluruh dunia apabila terbabit dalam filem adiwira kegemaran ramai Avengers pada 2015. Dalam filem terbabit, dia menggalas watak sebagai Dr Helen Cho.

Namanya semakin mekar di persada layar perak antarabangsa selepas membintangi filem termasuk Equals, The Dark Tower dan Fantastic Beasts: The Crimes of Grindelwald. Dia turut terbabit menjayakan siri Netflix berjudul Marco Polo.

Di Korea Selatan pula, antara drama dibintanginya termasuk Monster, 7th Grade Civil Servant, Brain dan Romance Town.

Peminat kini tidak sabar melihat kerjayanya diuruskan YG Entertainment yang terbukti sebuah agensi tersohor.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mac 2021 @ 7:54 AM