ATTA sudah tiga bulan tidak bertemu Aurel.
ATTA sudah tiga bulan tidak bertemu Aurel.
Agensi

Jakarta: YouTuber popular Indonesia, Atta Halilintar, 26, sanggup ke Bali meraikan sambutan tahun baharu sebagai usaha memperbaiki hubungannya dengan bakal isteri, Aurel Hermansyah, 23, yang kini mengalami masalah.

Menurut Atta, dia dan Aurel sebenarnya sudah tiga bulan tidak bertemu kerana mereka menjalani perhubungan jarak jauh selepas kekasihnya itu bersama keluarga menetap di Bali.

"Sekitar tiga bulan kami tidak bertemu sejak dia (Aurel) bersama keluarganya tinggal di Bali. Ditambah, banyak juga cerita tidak benar mengenai kami diperkatakan.

"Lama kami tidak bertemu dan netizen pula ambil peluang menyampaikan berita yang bukan-bukan mengenai saya dan dia. Jadi, siapa yang tidak terganggu mental dan emosi," katanya.

Menurut Atta, percintaan dan Aurel yang baharu dijalin selama setahun memerlukan masa. Apatah lagi, mereka juga dalam perancangan untuk berkahwin.

"Saya ke Bali untuk kami meraikan tahun baharu bersama kerana mahu terus berhubungan baik dengannya. Kami cuba memperbaiki masalah yang wujud dalam hubungan kami.

"Maklumlah, sudah lama juga kami tidak bertemu sebelum ini. Jadi, saya mengharapkan semoga dapat selalu bertemu, hubungan kami jadi baik dan tiada lagi apa-apa cerita buruk," katanya.

Hubungan percintaan Atta dan Aurel menarik perhatian ramai sejak akhir tahun lalu apabila mereka dikata tidak lagi berkongsi video romantik. Malah, ada yang mendakwa hubungan pasangan itu sudah putus.

Atta, bagaimanapun berusaha untuk mempertahankan hubungan cintanya dengan Aurel yang juga anak sulung kepada selebriti terkenal Indonesia, Anang Hermansyah dan bekas isteri, Krisdayanti.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 January 2021 @ 12:03 PM