FAZURA berkongsi wajah anaknya, Nur Fatima sempena tahun baharu. FOTO IG
FAZURA berkongsi wajah anaknya, Nur Fatima sempena tahun baharu. FOTO IG
Ridzuan Abdul

Kuala Lumpur: Keinginan peminat untuk melihat wajah anak pasangan selebriti terkenal Fattah Amin dan Nur Fazura iaitu Nur Fatima Aisya akhirnya tercapai.

Pasangan itu buat pertama kali berkongsi gambar Nur Fatima menerusi akaun Instagram (IG) mereka tepat pukul 12 tengah malam tadi.

Bersama gambar itu, mereka menitipkan ucapan  selamat menyambut tahun baharu 2021 kepada peminat dan pengikut mereka.

"Selamat Tahun Baharu 2021. Salam Sayang. Fattah, Fazura dan Fatima," kata pasangan itu.

Perkongsian wajah Nur Fatima itu dibuat selepas dua bulan dia dilahirkan pada 2 Oktober lalu. 

Perkongsian terbabit sehingga kini mendapat 257,041 tanda suka daripada pengikut mereka. 

Terdahulu pasangan itu memberitahu hanya akan mendedahkan wajah anak mereka apabila sampai waktunya.

Mereka turut menafikan mengikat perjanjian eksklusif dengan mana-mana pihak, sebaliknya keputusan ini atas kehendak sendiri.  

Fazura selamat melahirkan bayi perempuan selepas tiga tahun mendirikan rumah tangga bersama Fattah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 January 2021 @ 9:09 AM