Zaara Talita

Kuala Lumpur: Gelagat pasangan selebriti, Fattah Amin dan Fazura dalam video yang dimuatnaik di TikTok Fazura memaparkan kegigihan Fattah membantunya memakai tudung membuatkan netizen terhibur.

Mereka yang berpakaian seragam sekolah ketika itu mahu menonton konsert penyanyi popular Indonesia, Melly Goeslaw iaitu Konsert Ada Apa Dengan Melly? di Plenary Hall, KL Convention Centre, di sini, baru-baru ini.

Konsert dengan tema Back To School itu menyaksikan hampir semua penonton hadir dengan memakai pakaian seragam sekolah.

Video berkenaan menunjukkan Fattah dalam keadaan berhati-hati cuba memasukkan jarum peniti di tudung Fazura.

"Susah hendak masukkan jarum peniti di tepi bahagian muka ni. Awak (Fattah) kena hati-hati jangan tercucuk pipi saya pula.

"Lipatan bawah tu kena dilipat kena gaya, kalau tidak nampak tembam muka saya nanti,' kata Fazura.

Dalam video yang sama, Fattah kelihatan tenang mencucuk jarum di tudung, manakala berbeza dengan Fazura pula seperti tidak dapat menahan sabar.

"Untunglah suami penyabar, isteri tak berapa. Mana sibuk pipi nampak tembam ke tak, mana nak buat sendiri pula. Haih… Apa pun, saya sayang awak, Fattah Amin," tulis Fazura.

Semakan di ruangana komen mendapati rata-rata pengikut terhibur melihat gelagat pasangan selebriti popular itu yang romantis walaupun sedang mengejar masa.

Fazura mendirikan rumah tangga dengan Fattah pada 27 November 2017 dan mereka dikurniakan anak perempuan, Nur Fatima Aisya pada 2 Oktober 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Februari 2023 @ 4:47 PM