CASAS bakal uji pemainnya di kejohanan berkenaan. FOTO Ihsan Pahang Rangers FC
CASAS bakal uji pemainnya di kejohanan berkenaan. FOTO Ihsan Pahang Rangers FC
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Empat pasukan termasuk Pahang Rangers FC akan bersaing pada perlawanan persahabatan futsal antarabangsa empat penjuru pada 2 hingga 5 Mei depan di Stadium Tertutup SUKPA, di sini.

Pasukan terbabit ialah Bintang Timur Surabaya dari Indonesia dan Thai Son Bac dari Vietnam serta Sabah Mas.

Perlawanan kali pertama diadakan itu bagi mengisi ruang cuti panjang saingan Liga Futsal Perdana Kebangsaan Malaysia (MPFL) lebih sebulan.

Perlawanan anjuran Kelab Futsal Pahang Rangers itu lebih kepada pemanas badan untuk barisan pemain skuad Pahang Rangers FC bimbingan jurulatih Gerard Casas.

Perjuangan skuad Pantai Timur itu yang kini berada di tangga kedua liga di belakang Johor Darul Ta'zim (JDT) terhenti apabila saingan MPFL ditangguh bagi memberi peluang kepada pasukan kebangsaan beraksi di pentas antarabangsa.

Walaupun hanya perlawanan persahabatan namun pemain Pahang Rangers pasti memberi persembahan terbaik dalam memastikan imej selaku juara berganda musim lalu tidak tercalar.

Pada masa yang sama peminat futsal tempatan turut berpeluang menyaksikan persembahan dua pasukan tempatan dan dua pasukan luar negara yang memiliki rekod membanggakan di negara mereka.

Rata-rata pemain Tok Gajah berpendapat penganjuran perlawanan persahabatan futsal antarabangsa empat penjuru yang akan diadakan minggu depan dapat menambahkan lagi pengalaman mereka beraksi dengan pemain luar negara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2024 @ 2:54 PM