Pelakon, Fazura dan Fatima ketika sesi penggambaran di KLCC. FOTO AZIAH AZMEE
Pelakon, Fazura dan Fatima ketika sesi penggambaran di KLCC. FOTO AZIAH AZMEE
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Pelakon terkenal, Nur Fazura Sharifuddin mengakui dia sudah tidak sesuai melakonkan watak berkaitan percintaan tiga segi, termasuk wanita yang berebut lelaki dalam karya mahu dibintanginya.

Nur Fazura atau mesra disapa Faz berkata dia agak memilih watak untuk dilakonkan kini serta tertarik jika mendapat peluang menjayakan karekter yang lebih menjurus ke arah perjuangan dan semangat kental seorang wanita.

"Buat masa ini, memang saya belum ada menjayakan aktiviti penggambaran drama. Tapi, tawaran untuk berlakon yang datang, ada banyak. Cuma, jalan cerita watak akan dilakonkan itu saya rasa sudah kurang sesuai untuk dibawakan.

"Kisah cinta tiga segi tak sudah, menangis lagi kerana lelaki, saya rasa dah tak perlu dilakonkan lagi. Apapun, saya akui ada tertarik dengan tawaran jalan cerita dan watak diberikan pengarah, Michael Ang untuk drama terbarunya nanti," katanya kepada Harian Metro.

Menurut pelakon filem J Revolusi dan drama Hero Seorang Cinderella ini, bagaimanapun semuanya bergantung pada rezeki kerana sekarang ini segala keutamaannya tertumpu kepada anak, Nur Fatima Aisya, kini berusia enam bulan. Ujarnya, dia amat menitik beratkan jadual kerja yang teratur.

"Saya dah tak boleh bekerja macam dahulu. Kalau 'call time' penggambaran jam 6 pagi dan habis pula jam 1 pagi, saya memang tak boleh terima. Jadi, kalau ada produksi yang boleh ikut masa saya, Insya Allah akan dipertimbangkan.

"Bagi saya, terserah pada rezeki Allah. Kalau ada, terima, asalkan tidak mengganggu masa bersama Fatima. Untuk stamina bekerja, saya memang tiada masalah kerana sangat suka bekerja. Tahun lalu pun, beberapa hari sebelum bersalin, saya masih lagi bekerja," katanya.

Ujar Fazura, kini yang menjadi situasi utama dihadapinya bagaimana mahu meninggalkan Fatima untuk tempoh tertentu ke lokasi penggambaran. Katanya, dia belum bersedia dan tak tahulah sampai bila.

"Memang ada rasa rindu di hati saya untuk kembali ke lokasi penggambaran drama, tapi sekarang Fatima masih kecil. Saya akui rindukan peminat saya juga sebagaimana mereka merindui saya," ujarnya.

Turut ditanya mengenai perancangan menghasilkan lagu istimewa buat Fatima, katanya dia ada berhasrat mahu memuatkan satu lagu dalam album terbaru, tapi melihat pada situasi pandemik ketika ini nampaknya ia perlu dilupakan.

Pasangan Fazura dan suami, pelakon Fattah Amin bernikah pada 27 November 2017. Namun, rezeki mereka dikurniakan kehadiran Fatima pada 2 Oktober, tahun lalu.

Baru-baru ini, Fazura ditemui ketika terbabit penggambaran iklan di Suria KLCC yang menyaksikan dia berganding pertama kali dengan anaknya, Fatima Terdahulu, Fazura dan Fattah mendedahkan wajah Fatima pada  1Januari  lalu di Instagram dan mereka juga tidak terlalu mendedahkan anak di media sosial.

 

 

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 April 2021 @ 12:03 PM