Fazura bersama  anaknya, Fatima ketika sesi penggambaran di KLCC. FOTO AZIAH AZMEE
Fazura bersama anaknya, Fatima ketika sesi penggambaran di KLCC. FOTO AZIAH AZMEE
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Pelakon popular Nur Fazura, 38, enggan menjadikan anak perempuannya, Nur Fatima Aisya sebagai tarikan 'content' di media sosial hanya untuk menarik perhatian pengikut dan mengejar 'likes' orang ramai.

Nur Fazura atau mesra disapa Faz berkata, disebabkan enggan terlalu mendedahkan Fatima yang kini berusia enam bulan, dia dan suami, Fattah Amin tidak membuat akaun Instagram khas untuk bayi mereka.

"Kami memang tak terfikir nak terlalu dedahkan anak kami di media sosial. Ditambah lagi, dia bukan 'content' untuk kami menarik perhatian pengikut dan mengejar 'likes' orang ramai.

"Memang tak dinafikan, ramai orang yang minta untuk saya dan Fattah buat video Fatima, tapi kami biasanya akan kongsikan video yang dirasa bagus dan sesuai saja di Instagram keluarga, @fattzuralovelife.

"Setakat ini, Fatima tidak ada akaun Instagram peribadi kerana kami rasakan tidak perlu. Namun, sehingga bila biar masa menentukan. Apa yang saya dan suami kongsikan di fattzuralovelife pun sekadar yang kami fikir bagus dan perlu saja," katanya.

Terdahulu, Fazura muncul menjayakan penggambaran iklan di pusat beli-belah Suria KLCC hari ini, yang menyaksikan dia berganding bersama anaknya buat pertama kali.

Menurut Fazura, ia juga pengalaman pertama dia membawa anaknya berkunjung ke pusat beli-belah kerana selama ini Fatima hanya berada di rumah.

"Ketika situasi pandemik Covid-19 ini, saya memang paranoid nak bawa Fatima keluar bersiar-siar. Jadi, banyak masa kami di rumah saja.

"Apapun, hari ini Fatima nampaknya sangat teruja dibawa keluar dan dia tidak meragam langsung. Dia gembira dan selama enam bulan ini pun sangat senang untuk menguruskannya.

"Kehadiran Fatima melengkapkan keluarga saya dan Fattah. Kami sangat bahagia, tapi masa bergerak agak pantas dan sekejap saja, Fatima sudah berusia enam bulan," katanya.

Fazura berkata, kini dalam kehidupannya dan suami, Fatima adalah keutamaan mereka.

Menurutnya, jika dia nak menerima tawaran berlakon sekalipun akan dipastikan jadual kerja tidak mengganggu masa dengan anak.

Mengulas mengenai Fatima yang semakin popular selepas kali pertama didedahkan fotonya pada 1 Januari lalu di Instagram, Fazura berkata, kebanyakan orang Malaysia memang sukakan bayi. Apatah lagi, aktiviti Fatima jarang didedahkan di media sosial dan mungkin sebab itu dia menjadi tarikan perhatian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 April 2021 @ 6:19 PM