KEITH membawa barangan sumbangan.
KEITH membawa barangan sumbangan.
Sudirman Mohd Tahir


PELAKON Keith Foo sekali lagi berpeluang menjalankan misi kemanusiaan dan amal bersama pasukan St John Ambulans Malaysia cawangan Negeri Sembilan (SJAMNS) di beberapa kawasan terjejas banjir di Seremban, baru-baru ini.

Pada misi itu, Keith yang juga berasal dari Gemas berkesempatan menghulurkan bantuan kecemasan dan kebajikan kepada sebahagian mangsa banjir di sana.

"Ini bukan kali pertama saya dalam misi kemanusiaan. Sudah banyak kali saya turut serta dalam misi seumpama ini. Cuma sejak menyertai SJAMNS awal tahun lalu pembabitan saya lebih kerap tertumpu di Negeri Sembilan.

"Antara program yang dijayakan bersama mereka adalah derma darah, kesedaran Bantuan Pernafasan Kecemasan (CPR), perkhidmatan ambulans sempena hari perayaan dan pengedaran peralatan perlindungan diri (PPE) ke hospital serta klinik.

"Paling terbaharu kami menghulurkan bantuan makanan kepada 55 keluarga yang terjejas teruk akibat banjir di Seremban. Hati saya tersentuh ketika itu. Ada golongan tua yang terlantar dan uzur terkesan dengan ujian itu," katanya.

Keith yang juga bapa tunggal kepada seorang anak, Skylar Raymond Foo berkata, terdapat keluarga dan individu yang terjejas teruk sehingga memerlukan bantuan segera bagi meneruskan kehidupan.

"Bayangkan saat berdepan dengan pandemik, kemudian tanpa diduga banjir datang menguji lagi keteguhan hati mereka. Harta benda, kereta dan pelbagai lagi rosak teruk hingga sukar untuk diperbaiki. Saya dimaklumkan banjir baru-baru ini pada waktu malam mencecah ketinggian dua meter. Malah kebanyakan mereka tidak sedar air naik sampai paras katil selain ada yang terperangkap hingga perlu diselamatkan pihak keselamatan," katanya.

Dalam masa sama, Keith bersyukur apabila jenama produk yang melantiknya sebagai duta iaitu Crystal C White banyak menyumbangkan derma sekali gus menyokong kerja amal itu.

KEADAAN rumah mangsa banjir.
KEADAAN rumah mangsa banjir.

"Saya bersyukur orang kuat produk ini, Leinaa dan Reena tak berkira dalam soal menderma. Sumbangan ikhlas mereka amat saya hargai. Tidak lupa juga SJAMNS yang membuka ruang saya berkhidmat untuk masyarakat," katanya.

Keith berkata, dia juga berpeluang memandu ambulans ketika menjayakan misi itu sekali gus memberikan pengalaman baharu buat dirinya.

KEITH  (tengah) bersama keluarga yang menerima bantuan.
KEITH (tengah) bersama keluarga yang menerima bantuan.

"Sudah beberapa kali juga saya memandu ambulans. Malah saya juga pernah menghadiri kursus untuk membawa kenderaan itu. Cuma untuk program tempoh hari saya berasa sedikit tertekan kerana memikirkan tanggungjawab yang dilunaskan membantu masyarakat itu cukup besar," katanya.

HARTA benda yang musnah disebabkan banjir.
HARTA benda yang musnah disebabkan banjir.

Dalam perkembangan lain, Keith baharu saja terbabit dalam beberapa telefilem dan drama. Antaranya Dia Bukan Bidadari dan WiFi Sebelah Rumah.

Keith juga turut membintangi drama KL Gangster Underworld musim kedua yang mulai bersiaran di platform iflix WeTV sejak 10 Disember lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Disember 2020 @ 6:30 AM