KEITH bersama karyanya yang dipamerkan.
KEITH bersama karyanya yang dipamerkan.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


Nama artis komik Keith Chong Kah Hwee sememangnya tidak asing lagi dalam dunia kartunis bukan saja di negara ini malah di peringkat antarabangsa.

Kreativitinya menghasilkan komik Lawak Kampus yang berkisarkan telatah mencuit hati pelbagai karakter berlaku di sekeliling kita meletakkan dirinya sebaris dengan artis komik terbaik Asia Tenggara.

Karakter dalam komik itu seperti Vannesa, Froggy, Aditas dan Bepop sangat dikenali dengan kerenah yang pasti membuat sesiapa saja pecah perut.

Bersempena 15 tahun kelahiran komik strip komedi Lawak Kampus itu, satu pameran solo Keith diadakan di Balai Seni Negara yang berlangsung dari 9 hingga 25 Julai ini.

Keith berkata, pameran itu sebagai menghargai jasa peminatnya yang tidak pernah jemu memberi sokongan sejak 2003 hingga kini.

KARAKTER komik Lawak Kampus seperti Froggy, Vanness, Aditas dan Bepop membuatkan ramai ‘pecah perut’.
KARAKTER komik Lawak Kampus seperti Froggy, Vanness, Aditas dan Bepop membuatkan ramai ‘pecah perut’.

“Pameran ini bertemakan Lawak Tanpa Henti bagi memberi peluang kepada pengunjung melihat lapan karya diinspirasikan daripada lukisan artis terkenal dunia.

“Lebih 100 lakaran asal Lawak Kampus dipamerkan yang pengunjung boleh melihat lebih dekat bentuk lakaran asal sebelum diterbitkan menjadi komik,” katanya kepada Nuansa.

Beliau berkata, hampir semua lukisan dan lakaran itu dibuka untuk jualan serendah RM200.

Katanya, sesuatu menarik menanti pengunjung kerana mereka berpeluang menyaksikan diorama kelas Lawak Kampus 3D buat pertama kalinya didedahkan kepada peminat, sudut meja kerja beliau, tayangan istimewa, karakter dalam komik dan Gerai LK yang mengandungi pelbagai barangan terhad untuk pengunjung mengambil gambar sebagai kenangan.

“Lawak Kampus mempunyai purata pembaca sekitar 150,000 bagi setiap jilid dan menunjukkan peningkatan luar biasa.

“Hingga kini, Lawak Kampus mempunyai 32 jilid komik dalam bahasa Melayu dan turut diterbitkan dalam bahasa Cina,”katanya.

KEITH di sudut meja kerjanya.
KEITH di sudut meja kerjanya.

Sementara itu Ketua Pengarah Balai Seni Negara Prof Datuk Dr Mohamed Najib Ahmad Dawa berkata, Balai Seni Negara platform terbaik kepada artis untuk meningkatkan nilai seni mereka.

“Saya harap pameran ini menjadi penanda aras kepada syarikat komik di negara ini untuk menghasilkan lebih banyak kerja seni yang berkualiti selain menyebarkan mesej positif kepada masyarakat.

“Menerusi penganjuran pameran ini, Balai Seni Negara akan dapat mempromosikan seni dalam bentuk visual lain seperti kartun dan seni pemasangan serta daripada komik ke alam nyata,” katanya.

LEBIH 100 lakaran asal Lawak Kampus dipamerkan di Balai Seni Budaya.
LEBIH 100 lakaran asal Lawak Kampus dipamerkan di Balai Seni Budaya.

PAMERAN ULANG TAHUN KE-15 KOMIK LAWAK KAMPUS

• ARTIS: 1

• KARYA: 100

• TARIKH: 9 hingga 25 Julai 2018

• TEMPAT: Balai Seni Negara

• MASA: 10 pagi hingga 6 petang.

• ALAMAT: Jalan Temerloh, Off Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Julai 2018 @ 12:37 PM