NOORKUMALASARI
NOORKUMALASARI
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Kisah hidup dan perjalanan seni penyanyi dan pelakon legenda, Noorkumalasari bakal diterbitkan dalam drama bersiri berjudul Akulah Noor di TV3.

Penerbit Zeel Production Sdn Bhd, Fadzil Teh berkata, pihaknya masih dalam proses mencari pelakon yang sesuai bagi melakonkan watak Noorkumalasari itu.

"Alhamdulillah, pihak kami sudah berjumpa dan berbincang dengan Kak Noor. Dia bersetuju untuk penerbitan drama ini yang memaparkan kisah hidupnya. Jadi, sekarang kami dalam proses nak mencari pelakon yang sesuai.

"Bukan saja dalam kalangan pelakon sedia ada, tapi pencarian juga dibuka pada orang biasa. Paling penting individu itu kena tinggi dan ada 'look' Kak Noor. Insya-Allah, uji bakat akan dijalankan dan Kak Noor juga berbesar hati untuk turut serta," katanya.

Fadzil berkata, drama itu memaparkan kisah Noorkumalasari bermula sebagai peragawati, terbabit dalam bidang nyanyian, lakonan sehinggalah berkahwin dan juga kisah hidup bermadu.

"Cerita memang sepenuhnya daripada Kak Noor. Dia berkongsi apa yang ramai tidak tahu termasuk kehidupan bermadu. Cuma, apabila diterbitkan ke drama akan ada sedikit elemen 'drama' untuk menarik perhatian penonton. Tapi, tidaklah keterlaluan sehingga lari dari cerita asal.

"Kak Noor sangat membantu dan memberikan kerjasama baik untuk penerbitan drama ini. Apabila dia bercerita, sebenarnya banyak kisah yang orang tidak tahu. Sejujurnya, saya dan pasukan sangat teruja untuk penerbitan drama ini," katanya.

Menurut Fadzil, beberapa individu penting dalam kehidupan Noorkumalasari juga akan ditampilkan antaranya watak Anita Sarawak dan Allahyarham Datuk Sudirman Arshad.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Disember 2020 @ 12:41 PM