Fadzil (tiga dari kanan) dan Nasha (dua dari kanan) bersama teraju utama drama rantaian Jesnita.
Fadzil (tiga dari kanan) dan Nasha (dua dari kanan) bersama teraju utama drama rantaian Jesnita.
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Drama Jesnita terbitan Zeel Production yang ditayangkan di Slot Tiara, Astro Prima terus menjadi bualan dalam kalangan penonton dan pengguna laman sosial.

Selain jalan cerita yang dipaparkan, drama arahan Emi Suffian itu mendapat pujian apabila menggandingkan pelakon lama dan baharu selain kualiti lakonan terbaik antaranya Nasha Aziz, Intan Najuwa, Rozita Che Wan dan Fathia Latiff.

Penerbitnya, Fadzil Teh berkata, itu adalah pembabitan pertama Nasha untuk slot berkenaan.

"Kita semua tahu kredibiliti Nasha. Lakonannya tidak perlu dipertikaikan lagi. Dia tahu macam mana nak hidupkan watak Syafinaz. Peminat pula sentiasa menunggu lakonannya di TV.

"Begitu juga dengan kemunculan semula Fathia dalam drama. Dia pula memang seorang pelakon yang bagus dan saya berharap dia akan kekal begini.

"Tidak ketinggalan teraju utama drama ini, Intan, Yusuf Bahrin dan Fikry Ibrahim. Keserasian mereka di layar terserlah. Saya percaya mereka juga bekerja keras untuk mendapatkan hasil terbaik," katanya.

Menariknya, drama 40 episod itu dikatakan memberikan nafas baharu dalam penerbitan drama tempatan.

Jesnita memaparkan kisah Jesnita (Intan Najuwa) seorang gadis yang gilakan harta dan kekayaan. Demi mengecapi status sosial yang gah, dia berkahwin dengan pewaris perniagaan, Zaid (Malek Mccrone) tanpa keizinan ibunya Syafinaz (Nasha Aziz) yang tidak menyukai Jesnita.

Namun, Zaid seorang yang boros dan mahukan isterinya, Jesnita bahagia dengan berbelanja demi segala kemahuannya.

Pergaduhan berlaku antara Zaid dan Rafael (Yusuf Bahrin). Zaid menolak syarat Rafael yang mana dia perlu menceraikan Jesnita biarpun dia sedar yang dia tiada pilihan lain. Jesnita pula tertanya-tanya tentang identiti Rafael.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Disember 2022 @ 5:34 PM