WATAK Elizad dalam drama Syurga Yang Kedua perlu ketahanan mental, emosi kerana mesti menangis hampir setiap hari.
WATAK Elizad dalam drama Syurga Yang Kedua perlu ketahanan mental, emosi kerana mesti menangis hampir setiap hari.
Sudirman Mohd Tahir


Kredibiliti lakonan Siti Elizad tidak perlu dipertikai lagi.

Selepas kembali menyinar menerusi drama Teman Lelaki Upahan tiga tahun lalu, nama Elizad terus menjadi bualan peminat.

Terbaru, Elizad atau nama sebenarnya Siti Elizad Mohamad Sharifuddin, 34, yang melakonkan watak Sabrina dalam drama Syurga Yang Kedua berjaya menghantui hidup penonton.

Drama yang memaparkan kehidupan poligami itu memaparkan bagaimana Sabrina sebagai isteri pertama perlu bertahan demi cinta dan kasih terhadap suami.

Apa yang menarik, watak Sabrina itu bukan saja ditunggu pada setiap episod, malah Elizad akui di luar juga dipanggil dengan nama itu.

Tidak keterlaluan jika dikatakan, mainan jiwa dan penghayatan watak disampaikan Elizad cukup dekat dengan penonton.

Bukan saja wanita, malah lelaki terutama suami juga menyanjung tinggi watak Sabrina.

“Alhamdulillah, saya tidak menjangka watak Sabrina meninggalkan kesan mendalam terhadap penonton. Usaha dan kerja keras saya dalam menghidupkan watak ini berbaloi.

“Apabila diberikan skrip, saya buat kajian menyeluruh mengenai watak itu. Sejak dulu lagi saya bukan jenis yang main berlakon saja. Saya ingin menjayakan sesuatu watak sehingga ia benar-benar menjadi.

“Jadi, melihatkan sambutan terhadap watak dan drama ini, saya terharu dan gembira. Ke mana saja saya pergi orang bercakap mengenai Sabrina. Malah, di laman sosial juga mereka bercerita sehinggakan ada yang tidak sabar menunggu kesudahan cerita ini,” katanya.

Walaupun drama bersiri 70 episod itu berakhir hari ini, Elizad percaya Sabrina akan tetap hidup dalam diri dan segar di ingatan penonton.

Malah, menjadi satu kepuasan sebagai pelakon apabila karya lakonan itu diterima baik dan mendapat maklum balas positif dari mula sehingga akhir.

“Saya suka apabila penonton bercakap mengenai lakonan dan hasil kerja saya. Apatah lagi jika mereka mengenali saya dengan watak berkenaan. Saya okey dan tidak ada masalah. Bagi saya, ini satu perkembangan positif.

“Ketika mendapat tawaran melakonkan watak ini, saya bimbang jika tidak dapat memberikan yang terbaik seperti cerita asal. Namun, saya yakinkan diri untuk buat dengan cara tersendiri.

“Kalau nak tahu, disebabkan terlalu menyelami jiwa Sabrina, saya terbawa-bawa ke rumah. Mainan emosi Sabrina terlalu kuat sehinggakan suami juga tegur. Ternyata perkara sama juga dialami penonton apabila masing-masing meletakkan diri sebagai Sabrina,” katanya.

Menurut Elizad, watak Sabrina juga memerlukan ketahanan mental dan emosi kerana memerlukan dia menangis hampir setiap hari.

“Jika penonton pun merasai kesedihan hidup Sabrina, apatah lagi saya yang melakonkannya. Boleh dikatakan hampir setiap babak memerlukan saya menangis. Pendek kata, saya perlu kuat dari segi mental dan fizikal.

“Memang penat sebab kena menangis, tetapi mengenangkan watak ini yang pada masa sama perlu menunjukkan kekuatan, saya perlu menyampaikan jiwa berkenaan. Saya tidak boleh kalah dengan air mata,” katanya.

Tidak mahu jadi seperti Sabrina

Secara realitinya Elizad cuba mengelak menjadi seperti Sabrina yang hidup bermadu.

Menurut Elizad, dia percaya tidak ada mana-mana wanita yang sanggup berkongsi kasih dan sayang lebih-lebih lagi dengan rakan sendiri.

“Sepanjang drama ini ditayangkan, saya jadi paranoid dengan diri sendiri. Malah, jika suami memegang telefon, saya akan bertanya siapa yang menelefon atau menghantar mesej. Saya takut jika dia ada orang lain.

“Secara peribadi, saya tidak mahu jadi seperti Sabrina. Saya tidak sanggup bermadu. Walaupun apa yang dipaparkan dalam drama ini adalah realiti kehidupan kita, tidak semua boleh menerima keadaan ini.

“Kalau nak tahu, saya jadi marah dengan watak Sabrina kerana terlalu baik. Kalau saya di tempat Sabrina, sudah lama saya tinggalkan dia,” katanya.

Elizad akui, dia tidak mempunyai sebarang halangan sekiranya pada masa akan datang suaminya ingin berkahwin lain jika soal anak menjadi alasan utama.

“Walaupun suami tidak pernah bercakap soal ini, saya sentiasa ingatkan diri sendiri. Malah suami pernah kata, sekiranya perkahwinan kami tidak dikurniakan anak, dia reda kerana sebelum ini sudah memiliki dua anak hasil perkahwinan terdahulu.

“Namun, jauh di sudut hati saya percaya suami juga inginkan zuriat sendiri bersama saya. Bagaimanapun, saya menyerahkan perkara ini kepada rezeki Allah. Doakan saja yang terbaik untuk kami. Setiap masa saya berdoa agar suatu hari nanti dapat merasai nikmat menjadi ibu,” katanya.

Elizad dan suami, Shamsul Baharin berkahwin pada 11 Januari 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Mac 2018 @ 7:45 AM