ANGGOTA Inteam terus aktif mengadakan persembahan secara atas talian kepada peminat.
ANGGOTA Inteam terus aktif mengadakan persembahan secara atas talian kepada peminat.
Ridzuan Abdul Rahman

Pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia tidak menjadi penghalang kepada kumpulan Nasyid Inteam untuk terus melebarkan sayap mereka ke peringkat antarabangsa.

Tambahan pula, selepas diundang mengadakan persembahan di Toronto, Kanada selama dua tahun berturut-turut dalam acara Reviving Islamic Spirit pada 2018 dan 2019, mereka mula dikenali oleh warganegara Amerika Syarikat dan Eropah khususnya komuniti Muslim di sana.

Malah, kumpulan terdiri daripada empat anggota ini iaitu Mohd Syahril Abdul Khalid, Muhammad Hazamin Harun, Hisyam Ahmad dan Abdul Rahim Osman ini menerima pelbagai pujian daripada masyarakat Eropah yang mengagumi persembahan mereka.

Ketua kumpulan Inteam, Syahril atau Syah berkata, ketika peringkat awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu, mereka mendapat undangan beraksi secara atas talian bersama komuniti Muslim di Kanada.

"Inteam terbabit dalam program Muslim Fest iaitu acara tahunan yang turut disertai wakil Perdana Menteri Kanada dan beberapa orang Menteri dan pemimpin kerajaan Kanada.

"Seterusnya pada hari raya yang lalu, kami diundang pula mengadakan persembahan bersama komuniti Muslim Perancis juga melalui persembahan normal baharu secara dalam talian.

"Semalam (Isnin) kami baru diundang menjayakan program sempena Maulidurrasul di California, Amerika Syarikat," katanya.

Menurut Syahril, undangan dibuat oleh sebuah organisasi dakwah di sana iaitu Tawasaw yang diketuai seorang ulama dan pendakwah Amerika Syarikat iaitu Sheikh Alauddin Elbakri.

"Ia berlangsung pada pukul 7 pagi waktu Malaysia. Persembahan kali ini agak mencabar disebabkan perbezaan masa dan dilaksanakan secara langsung.

"Disebabkan itu kami perlu bersedia seawal pukul 6 pagi untuk persembahan itu yang dijalankan di pejabat Inteam Records," katanya.

Selain persembahan Isnin lalu, Inteam yang dikenali dengan lagu Kasih Kekasih dan Rabiatul Adawiyah turut dijemput buat kali ketiga untuk mengadakan persembahan di dalam acara RIS Toronto tahun ini. "

Bagaimanapun,suasana kali ini agak berbeza kerana kami tidak lagi berpeluang ke sana dan hanya menjayakannya secara dalam talian bersama kumpulan Raihan dan Rabbani pada 27 Disember nanti.

"Apapun ia bukan alasan untuk kami melakukan persembahan secara sambil lewa kerana kami tetap akan buat yang terbaik.

"Dalam pada itu, kami juga sedang bergiat membuat persediaan untuk konsert dalam talian sempena ulang tahun ke-20 yang mendapat sokongan dana dari Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) yang akan diadakan pada 12 Disember depan," katanya.

Selain menyanyi, Inteam juga mempunyai perniagaan produk makanan kesihatan dan sunnah yang dikeluarkan oleh mereka sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 November 2020 @ 6:20 AM