INTEAM. FOTO arkib NSTP
INTEAM. FOTO arkib NSTP
Ridzuan Abdul Rahman


BIARPUN berdepan situasi pandemik Covid 19 yang menyaksikan hampir seluruh dunia mengadakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kumpulan nasyid Inteam tetap aktif meneruskan persembahan nyanyian mereka secara atas talian.

Ketua kumpulannya, Syahril berkata, Inteam baru sahaja melancarkan perkhidmatan persembahan nasyid secara atas talian bagi mengisi acara di dalam program-program tertutup mahupun terbuka yang diadakan terutamanya untuk sambutan Aidilfitri ini.

"Kami faham, ramai dalam kalangan artis serta pengurus acara sedia maklum berkemungkinan penganjuran acara secara perkumpulan ramai mungkin tidak akan dapat diadakan untuk tempoh yang lama.

"Namun, kami tidak mahu mengalah apabila berfikir di luar kotak dan cuba menggunakan teknologi terkini untuk terus menyampaikan persembahan kami.

"Alhamdulillah, setakat ini, kami sudah mendapat dua jemputan iaitu persembahan bagi Komuniti Muslim dari organisasi NPO Cesam, Perancis untuk Ramadan lalu serta persembahan sempena Aidilfitri bagi komuniti muslim di Kanada," katanya.

Menurutnya, Inteam akan terbabit dengan dua program untuk komuniti muslim Kanada pada hari pertama Aidilfitri esok iaitu Eid Ul Fitr 2020 (Virtual Eid Program) dan EID MU-BROAD-CAST.

"Eid Ul Fitr 2020 akan bermula pada 9.30 malam waktu Malaysia di mana pengisiannya ialah takbir raya, diikuti dengan solat sunat Aidilfitri dan khutbah membabitkan muslim Kanada. Selepas itu barulah diikuti dengan persembahan daripada Inteam dan Raihan. Peminat boleh mengikutinya menerusi www.facebook.com/zulfaafoundation.

"EID MU-BROAD-CAST pula akan bermula jam 10 malam waktu Malaysia yang menyaksikan kami akan buat persembahan. Ia boleh diikuti menerusi Facebook dengan mendaftar di www.canadamuslims.ca," katanya.

Syahril berkata, persembahan terbabit bakal diadakan secara pilihan sama ada menggunakan muzik minus one atau secara muzik langsung bersama beberapa orang pemuzik.

"Kami cuba memikirkan untuk turut sama membabitkan rakan-rakan pemuzik dalam persembahan ini kerana pendapatan mereka juga pasti terkesan dengan keadaan PKP dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sekarang yang mungkin akan terus berlanjutan.

"Inteam akan memastikan sesi persembahan kami nanti akan mengikuti SOP yang ditetapkan seperti penjarakkan sosial dan perkumpulan tidak lebih dari 10 orang. Diharapkan persembahan berkonsep baharu ini akan mendapat sokongan ramai pihak," katanya.

Kumpulan yang dikenali dengan lagu Kasih Kekasih dan Rabiatul Adawiyah ini baru sahaja menghasilkan single baharu berjudul Setanggi Syurga 2020 bekerjasama dengan penyanyi Khai Bahar.

 Mereka menyarankan semua pihak harus saling sokong menyokong dan cuba menyesuaikan diri dengan normal baharu selagi wabak Covid-19 belum berakhir.

"Alhamdulillah, sejak single ini popular di YouTube, jadual kami agak penuh dengan sesi temuramah bersama radio dan tv yang turut diadakan secara atas talian. Apabila kami mula mendapat pertanyaan berkenaan persembahan, kami mencadangkan kepada beberapa penganjur acara untuk mengadakan persembahan secara atas talian dan mereka menerima baik cadangan ini," katanya.

Selain Syahril, Inteam turut dianggotai Muhammad Hazamin Harun, Hisyam Ahmad dan Abdul Rahim Osman.

Peminat boleh mengetahui perkembangan terkini Inteam menerusi Facebook dan Instagram rasmi mereka.

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mei 2020 @ 4:40 PM