INTEAM selepas membuat persembahan sempena konvensyen 'Revival Islamic Spirit' (RIS) ke-17 di Metro Toronto Convention Centre, Kanada. FOTO ihsan InTeam
INTEAM selepas membuat persembahan sempena konvensyen 'Revival Islamic Spirit' (RIS) ke-17 di Metro Toronto Convention Centre, Kanada. FOTO ihsan InTeam
Amirul Haswendy Ashari.


“ADA yang memuji 'it's awesome!, it was amazing!'” dan pelbagai lagi ucapan yang membuatkan kami gembira dan bersyukur", kata Syahril Khalid dari kumpulan nasyid InTeam.

Pujian itu diterima InTeam selepas membuat persembahan sempena Konvensyen Revival Islamic Spirit (RIS) ke-17 di Metro Toronto Convention Centre, Kanada, 18 sehingga 27 Disember lalu.

Syahril berkata, Inteam berpeluang mengadakan persembahan nasyid dan qasidah di hadapan hampir 10,000 peserta RIS Convention di pentas utama program tersebut dan juga di pentas bazar yang digelar ‘360 stage.’

"Sebelum ini kami pernah dijemput mengadakan persembahan di RIS Convention yang diadakan di Putrajaya tahun lalu dan inilah kali pertama diberi peluang membuat persembahan di Kanada pula," katanya.

Sebelum ke sana, InTeam merujuk kepada kumpulan Raihan untuk mendapatkan nasihat kerana Raihan sering dijemput ke program itu, sebelum ini.

InTeam berkata, pada persembahan itu, mereka menyampaikan Qasidah Ya Hanana dan Solatun Bis Salamil Mubin secara 'live' diiringi paluan percussion.

INTEAM ketika persembahan sempena lonvensyen 'Revival Islamic Spirit' (RIS) ke-17 di Toronto, Kanada. FOTO ihsan InTeam
INTEAM ketika persembahan sempena lonvensyen 'Revival Islamic Spirit' (RIS) ke-17 di Toronto, Kanada. FOTO ihsan InTeam


Mereka turut mengambil peluang mengunjungi beberapa lokasi menarik di Kanada selain sempat menyiapkan rakaman video klip bagi qasidah Ya Hanana versi baru di sekitar bandar Toronto.

"Kami mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat membantu kami sehingga mendapat peluang ini iaitu Al Naqiy dari Malaysia, EZQurban dan YADIM yang menaja sebahagian kos perjalanan kami.

"Terima kasih juga kepada pihak RIS sendiri yang memberi kepercayaan kepada kami mengadakan persembahan kali ini," kata Rahim pula.

Kumpulan dikenali dengan lagu Kasih Kekasih dan Rabiatul Adawiyah juga berkesempatan bertemu komuniti Melayu dari Malaysia dan Singapura dan menghiburkan mereka melalui persembahan 'live.'

"Alhamdulillah, ini adalah pengalaman sangat berharga dan merupakan mimpi menjadi kenyataan untuk mengikut jejak langkah abang-abang Raihan melebarkan sayap ke peringkat antarabangsa," kata Muhammad Hazamin pula.

InTeam dianggotai Mohd Syahril Abdul Khalid, Muhammad Hazamin Harun, Hisyam Ahmad dan Abdul Rahim Osman.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 January 2019 @ 2:48 PM