Maryam Muzamir berjaya mengharumkan nama negara selepas meraih tiga pingat emas dalam Pertandingan Inovasi dan Reka Cipta Antarabangsa Kanada ke-6 (iCAN 2021), di Toronto, Kanada, bulan lalu. FOTO ihsan FB
Maryam Muzamir berjaya mengharumkan nama negara selepas meraih tiga pingat emas dalam Pertandingan Inovasi dan Reka Cipta Antarabangsa Kanada ke-6 (iCAN 2021), di Toronto, Kanada, bulan lalu. FOTO ihsan FB
Samadi Ahmad


Putrajaya: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menawarkan bantuan mempatenkan hasil inovasi kanak-kanak Maryam Muzamir, 11, melalui inovasi makanan haiwan dihasilkan daripada kulit udang dan siput sedut.

Ia susulan kejayaannya merangkul tiga pingat emas dalam pertandingan The 6th International Invention, Innovation Competition (iCAN) 2021 di Toronto, Kanada.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pihaknya akan membantu melalui agensi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) bagi memastikan hasil invovasi itu dilindungi.

Alexander berkata, pihak MyIPO sudah berhubung dengan bapa pelajar terbabit pada minggu lalu untuk mengetahui lebih lanjut mengenai inovasi dihasilkan anaknya itu.

Menurutnya, usaha mempatenkan hasil inovasi ini bukan sahaja memberikan pengiktirafan hak milik kreativiti kepada pencipta, malah melindungi ciptaan atau inovasi seseorang daripada diciplak.

Katanya, ia juga memberi peluang kepada pencipta untuk meneroka potensi yang lebih luas seperti mengkomersilkan hasil ciptaan ke peringkat lebih tinggi.

"KPDNHEP menyeru kepada pencipta yang menghasilkan ciptaan dan inovasi dalam pelbagai bidang untuk mempatenkan hasil karya mereka sama ada yang pernah memenangi sebarang pertandingan atau sebaliknya, bagi membolehkan mereka memegang hak cipta secara eksklusif" katanya tadi.

Bulan lalu, murid tahun lima Sekolah Kebangsaan Perempuan Methodist, Kuantan, Pahang ini, mengharumkan nama negara selepas meraih tiga pingat emas dalam Pertandingan Ciptaan, Inovasi Antarabangsa Keenam di Toronto, Kanada.

Maryam beroleh kejayaan itu selepas mencipta inovasi makanan haiwan daripada kulit udang dan siput sedut yang dinamakan YAM 2.0.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 September 2021 @ 3:26 PM