RAIHAN berharap kerajaan Malaysia menyokong usaha membawa keluar kumpulan nasyid mengadakan persembahan di luar negara.
RAIHAN berharap kerajaan Malaysia menyokong usaha membawa keluar kumpulan nasyid mengadakan persembahan di luar negara.
Ridzuan Abdul Rahman

Ketika penyanyi genre lain mengeluh dengan larangan mengadakan persembahan untuk umum yang ditetapkan kerajaan bagi memutuskan rantaian penularan Covid-19, situasi sebaliknya pula berlaku terhadap genre nasyid atau religi.

Peminat sudah menyaksikan tiga program besar membabitkan nasyid iaitu Konsert Ulang Tahun ke-20 Inteam pada 12 Disember serta dua anugerah terbesar iaitu Anugerah Pencipta Nasyid Ikim 2020 (APNI 2020) anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) pada 20 Disember dan diikuti Anugerah Nasyid Malaysia 2020 atau dikenali ANAM 2020 pada 27 Disember.

Terbaru, kumpulan Raihan, Rabbani dan Inteam dijemput mengadakan persembahan dalam talian untuk sebuah acara tahunan yang dianjurkan di Toronto, Kanada iaitu Reviving Islamic Spirit Covention (RIS) pada 27 Disember lalu yang disaksikan jutaan penonton di sana.

Ini sekali gus memberi isyarat serangan virus Covid-19 yang melanda dunia tidak menjadi penghalang kepada kumpulan nasyid dari Malaysia untuk terus mengharumkan nama negara ke peringkat antarabangsa.

Rakaman persembahan tiga kumpulan nama besar ini dibuat di Warisan Hall, Sijangkang dan penganjur di sana memberikan kepercayaan kepada pengurusan Inteam untuk mengendalikannya.

Che Amran dari kumpulan Raihan mengakui berbesar hati diundang terbabit dalam program ini.

RABBANI gembira tidak perlu meninggalkan keluarga bagi menghiburkan peminat di luar negara.
RABBANI gembira tidak perlu meninggalkan keluarga bagi menghiburkan peminat di luar negara.

"Menerusi pengalaman kami mengembara ke serata dunia menyampaikan nasyid, kami lihat nasyid Malaysia sangat diterima di peringkat antarabangsa. Syukur, kali ini kami berpeluang pula meneruskan persembahan luar negara melalui persembahan norma baharu secara dalam talian.

"Saya merasakan inilah masanya yang sangat sesuai untuk pihak kerajaan membantu dan menyokong kumpulan-kumpulan nasyid membawa nama negara dan menjenamakan nasyid Malaysia di peringkat antarabangsa," katanya.

Ketua kumpulan Rabbani, Azadan melahirkan kesyukuran kerana nasyid masih bertahan dan diterima seperti biasa.

"Alhamdulillah, hikmah yang baik dari wabak kali ini ialah kami berpeluang mengadakan persembahan di luar negara secara dalam talian tanpa perlu meninggalkan keluarga untuk tempoh perjalanan ke luar negara yang lama dan pastinya memenatkan.

"Walaupun tak dapat ke Kanada, namun mesej dakwah yang kami cuba bawa melalui lagu-lagu nasyid kami masih tetap dapat disebarkan bukan sahaja kepada penonton di Kanada, bahkan seluruh dunia yang menyertai konvensyen secara maya ini," katanya.

INTEAM dipilih mengadakan persembahan dan menguruskan projek ini.
INTEAM dipilih mengadakan persembahan dan menguruskan projek ini.

Manakala Hazamin dari kumpulan Inteam pula berbangga dan terharu apabila diberi kepercayaan oleh penganjur antarabangsa RIS untuk mengendalikan projek ini.

"Ia satu pengalaman yang amat berharga apabila Inteam menguruskan rakaman kandungan dan pengurusan artis bagi segmen persembahan Artis Malaysia di dalam acara berprestij seperti RIS Convention ini," katanya.

Persembahan mereka yang disiarkan secara langsung menerusi laman web RISConvention.com ditonton oleh peserta-peserta konvensyen terbabit yang membayar tiket bernilai AS$25 dari seluruh dunia.

Mereka menyampaikan lagu-lagu antaranya Thank You Allah, Allahu, Ahmad Ya Habibi, Maulana, Qamarun, Salamun Salam, Tola'al Badru dan banyak lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 January 2021 @ 6:20 AM