HUN selesa fokus pada karier seni.
HUN selesa fokus pada karier seni.
Norhayati Nordin


PEMBABITAN pelakon Hun Haqeem, 24, dalam industri hiburan kini, boleh dikata antara bakat muda yang begitu digemari ramai dan mendapat sambutan baik pada kalangan peminat.

Apatah lagi, lakonannya dalam drama Kampung People di TV3 untuk dua musim sebagai watak Jekfer cukup menarik perhatian penonton. Begitu juga lakonan mantap dalam drama Angkara Cinta bersama Wanna Ali.

Apa pun, gandingan pemilik nama sebenar Haqeem Hermy ini bersama pelakon Kamal Adli dalam drama Sihir yang ditayangkan Astro Ria pada November tahun lalu juga tidak kurang hebat apabila berjaya mewujudkan keserasian padu.

Mengulas gandingan itu, Hun berkata, dia tidak mengambil masa lama untuk sesuaikan diri berlakon dengan Kamal yang baginya seorang pelakon berkaliber dan sangat membantu sepanjang penggambaran.

"Pengalaman berlakon dengan Kamal dalam drama Sihir itu memang 'best' sebab tak sangka kami boleh satu kepala dan suka berbincang untuk menjayakan watak masing-masing bersama.

TERKAIT gosip, bagi Hun lumrah hidup anak seni.
TERKAIT gosip, bagi Hun lumrah hidup anak seni.

"Kami juga berkongsi ilham untuk drama itu bagi menghasilkan babak menarik dan difikir sesuai. Secara tidak langsung, kami belajar dan menimba ilmu baharu kerja di belakang tabir bersama selain berlakon," katanya.

Sihir mengisahkan dua pemuda iaitu Hud lakonan Hun dan Nuh (Kamal) yang mempunyai keistemewaan 'deria keenam' apabila mereka dapat mengesan serta merawat pelbagai jenis sihir atau ilmu hitam.

Berbicara mengenai ilmu sihir, Hun berkata, dia tahu mengenai kewujudannya dan dia sentiasa berhati-hati. Katanya, apa yang pasti drama berkenaan memaparkan pelbagai jenis sihir.

"Apa pun, saya gembira sudah memberikan yang terbaik dalam drama ini terutama tidak mensia-siakan peluang bekerja dengan pengarah dan penerbit seperti Michael Ang.

"Peluang dapat bekerja dalam produksi Michael, bagi saya rezeki yang bermakna kerana dia juga sedia memberi peluang kepada orang lain seperti saya bukan hanya sebagai pelakon, tetapi berkongsi idea untuk 'screenplay' bagi sesuatu babak," katanya.

Hun yang masih solo, turut tidak terlepas ditanya mengenai jodoh dan baginya dia mahu fokus kepada karier seni dahulu. Katanya, dia ingin mendapatkan lebih banyak peluang lagi dalam menerokai watak dilakonkan.

"Soal jodoh adalah ketentuan Allah dan saya pun tak tahu nak cakap macam mana. Cuma bagi saya sekarang peluang bekerja yang diperoleh paling utama kerana biar berjaya dalam kerjaya dahulu," katanya.

Turut tidak terlepas daripada gosip yang terkait dirinya, Hun berkata dia sedar itu lumrah menjadi anak seni. Katanya, dia cuba menerima dengan tenang selagi tidak keterlaluan kerana sampai masa akan berlalu juga.

"Saya tidak melayan gosip yang muncul dan terkait dengan diri. Bagi saya, fokus pada karier perlu didahulukan berikutan industri hiburan ini sentiasa didatangi bakat baharu. Saya perlu lebih berusaha untuk terus bertahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 January 2022 @ 6:10 AM