ANGGOTA Rehearse dari kiri Mat Rejab, Yusuff, Uze Osbourne, Adam dan Adli.
ANGGOTA Rehearse dari kiri Mat Rejab, Yusuff, Uze Osbourne, Adam dan Adli.
Ridzuan Abdul Rahman

KETIKA arus kebangkitan muzik underground berkembang rancak di negara ini sekitar 2011, empat pemuda iaitu Adli (gitar), Uze (penyanyi), Yusuff (bass) dan Matt (dram) sepakat menubuhkan band Rehearse.

Adli berkata, pada mulanya Rehearse berkonsepkan brutal/slamming death metal yang berinspirasikan kumpulan barat seperti Waking The Cadaver, Kraanium, Human Rejection, Annotation of An Autopsy serta band tempatan seperti Sicksociety, Bloody Anotomies dan banyak lagi.

Menurutnya, lama-kelamaan aliran dan cara permainan mereka mula berubah ke arah death metal.

"Kami mulanya menggelarkan diri kami band latihan yang bermakna kami hanya bermain muzik hanya untuk hobi dan mengisi masa lapang. Begitu juga kewujudan nama Rehearse yang tidak diubah sehingga kini.

"Bagaimanapun Rehearse berjaya menghasilkan EP pertama pada 2013 berjudul Chaos Reign yang memuatkan empat lagu ciptaan sendiri dan diikuti dengan single berjudul Ouroboros pada 2017.

"Syukur ia berjaya membuka mata peminat dan kami mula mendapat jemputan untuk menyertai beberapa siri gig di seluruh negara. Sedikit demi sedikit Rehearse mula dikenali peminat muzik bawah tanah," katanya.

Seakan lumrah buat artis berkumpulan yang menyaksikan pengunduran ahli. Ia turut dilalui Rehearse apabila Matt terpaksa berundur atas sebab-sebab tertentu sekitar hujung 2011.

Tempatnya digantikan Dash selaku pemain dram baru, manakala Yusuff berubah dari posisi asal sebagai pemain bass kepada pemain gitar irama. Anggota baru, Fauwaz diambil sebagai pemain bass.

"Dengan kemasukan Dash dan Fauwaz, kami mula menulis dan mencipta lagu-lagu baru untuk dimuatkan dalam EP Chaos Reign pada 2013. Proses rakaman, mixing dan mastering dilakukan sepenuhnya di Studio Uprising.

"Tahun 2014 ujian melanda lagi apabila Dash pula terpaksa berundur dan digantikan dengan ahli baru iaitu Fariq dari 7th Stage Below. Fauwaz pula digantikan oleh Tariq yang juga dari 7th Stage Below.

"Dengan adanya Fariq dan Tariq, Rehearse kembali giat menulis karya-karya baru dan terhasil idea luar kotak. Mereka kekal selama setahun dan Fariq mengundur diri pada hujung 2015 dengan digantikan Paan dari band Enziel selaku pemain dram dan posisi pemain bass dikosongkan," katanya.

Single Ouroboros pula dikeluarkan menerusi platform YouTube dan rakaman dibuat di Brutal Lab Studio oleh Auk (Sicksociety), manakala proses mixing dan mastering oleh Max Sayuthi (Cyro Inferno/Delict) dari Studio Koman.

Tahun ini menyaksikan Rehearse dianggotai Uze (penyanyi), Adli (gitar), Yusuff (gitar), Adam (bass) dan Mat Rejab (dram) dengan membawakan konsep brutal death metal.

"Pada 11 Ogos lalu, kami melancarkan album pertama berjudul Myth yang diterbitkan sendiri. Walaupun jualan album ini sedikit terganggu dengan pandemik Covid-19, ia mendapat maklum balas positif oleh peminat yang sudah memilikinya. Buat masa ini album Myth hanya boleh didapati dalam format cakera padat (CD), namun kami turut mempunyai perancangan untuk memasarkan album dalam bentuk kaset, piring hitam dan melalui platform digital.

"Album mengandungi sembilan lagu ini dirakamkan pada hujung 2018 di Helios Studio oleh Auk dengan proses mixing dan mastering hasil sentuhan Max Sayuthi dari Studio Koman dan Chinos dari Insider Setelit Studio, manakala seni reka kulit album pula mendapat sentuhan Uze Pixeldeart dan Katze art," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Ogos 2020 @ 6:20 AM