MEGADETH ketika bersama Broderick (kanan) dan Drover (kiri).
MEGADETH ketika bersama Broderick (kanan) dan Drover (kiri).
Susunan Riadz Radzi


Band thrash metal terkenal Megadeth bakal tampil dengan album studio ke-15 mereka dalam masa terdekat ini.

Perkara ini disahkan oleh pengasas band itu yang juga penyanyi dan pemain gitarnya, Dave Mustaine menerusi Twitter.

Dalam status Twitter yang dimuat naik kelmarin, Dave berkata, lagu yang ditulis untuk album terbaru hampir siap dan mereka dijangka memasuki studio rakaman dalam tempoh terdekat ini.

Album terakhir Megadeth berjudul Super Collider dipasarkan pada 2013.

Sebelum itu, desas-desus mengatakan band asal Los Angeles, Amerika Syarikat ini menghasilkan album baru muncul apabila Megadeth merekrut pemain dram Lamb Of God, Chris Adler untuk bersama mereka dalam proses rakaman.

Dave dalam kenyataannya berkata, Chris memiliki bakat hebat yang mampu membawa perubahan buat Megadeth sekali gus menjadikan peminat mereka teruja.

Chris pula menyifatkan tawaran Megadeth itu sukar untuk ditolak.

“Itu satu penghormatan buat saya. Apa yang pasti fokus kami nanti ialah untuk menghasilkan album thrash metal terbaik,” katanya.

Selain Dave, anggota asal Megadeth yang masih kekal ialah pemain bass David Ellefson.

Pemain dram Shawn Drover dan pemain gitar Chris Broderick meninggalkan band ini tahun lalu.

Selain itu, ada cakap-cakap mengatakan Megadeth bakal menggunakan khidmat pemain gitar dari Brazil, Kiko Loureiro yang sebelum ini dikenali dengan band Angra.

Selepas pengunduran Drover dan Broderick, Megadeth belum mengumumkan pengganti rasmi mereka.

Drover keluar dari Megadeth pada 25 November tahun lalu dengan alasan mahu fokus kepada genre muzik lain, manakala Broderick meninggalkan Megadeth beberapa jam selepas itu dengan alasan perbezaan arah muzik dan artistik.

Dave menubuhkan Megadeth pada 1983 selepas dia keluar dari Metallica. Mereka dianggap antara perintis muzik thrash metal di Amerika Syarikat dan dilabel sebagai ‘big four’ dalam arena muzik thrash metal dunia bersama Metallica, Anthrax dan Slayer.

Sejak tampil dengan album sulung pada 1985, keseluruhan album mereka terjual lebih 50 juta unit di seluruh dunia sekali gus menjadikan Megadeth antara band legenda dalam sejarah muzik rock.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 April 2015 @ 11:57 AM