Khadijah bersama Bunga dan Noah. FOTO Instagram Khadijah
Khadijah bersama Bunga dan Noah. FOTO Instagram Khadijah
Sudirman Mohd Tahir


IBU mentua penyanyi terkenal Indonesia, Bunga Citra Lestari iaitu Khadijah A Rahman atau dikenali sebagai Dida Sinclair menyambut baik keputusan penyanyi itu untuk kembali aktif dalam bidang seni selepas melancarkan single 12 Tahun Terindah, baru-baru ini.

Dida yang juga ibu kepada Allahyarham Ashraf Sinclair turut mendoakan Bunga semoga terus menjadi kuat, sihat dan bahagia.

"Doaku untuk Bunga agar selalu dibimbing Allah SWT untuk menjadi kuat, sihat, bahagia dan bersyukur atas segala sumbangan ditinggalkan oleh Ashraf untuk Bunga, Noah dan kita semua. Ini waktunya untuk 'move on'. Kami ada bersamamu Bunga," katanya menerusi Instagram.

Mengenai single yang dilancarkan yang menceritan kisah 12 tahun Bunga bersama Ashraf, Dida berkata, ia lagu yang cukup indah.

"12 Tahun Terindah. Alhamdulillah, sebuah hadiah yang indah daripada Allah untuk cintaku Bunga dan arwah Ashraf. Sebuah hadiah yang akan Bunga hargai sepanjang hidupnya dalam menjadikan Noah anak soleh dan semua hal yang sudah diajarkan arwah kini ada dalam diri Noah.

"Salam cinta daripada keluarga besarmu di Malaysia. Selamat atas pelancaran 12 Tahun Terindah, terima kasih kerana berkongsi bersama kami semua. Alhamdulillah," katanya.

Selain lagu itu, Bunga juga berjaya mengadakan 'virtual showcase' pertamanya iaitu Melangkah Lagi di saluran YouTube, It's Me BCL, kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Julai 2020 @ 11:16 AM