MILLA pelbagaikan cabang perniagaan dengan cuba menjual durian. FOTO Instagram Milla Jiri
MILLA pelbagaikan cabang perniagaan dengan cuba menjual durian. FOTO Instagram Milla Jiri
MILLA pelbagaikan cabang perniagaan demi tampung gaji pekerja
MILLA pelbagaikan cabang perniagaan demi tampung gaji pekerja
Norhayati Nordin

PEMBABITAN Milla Jirin dalam perniagaan bukan baharu, diam tak diam sudah tujuh tahun dia mengusahakan pakej perkahwinan Bizmilla Catering.

Pun begitu, dugaan dalam perniagaan sukar dijangka.

Apatah lagi, negara dilanda penularan pandemik Covid-19. Semestinya, ia amat mengejutkan.

Menurut Milla, dia umpama hilang arah pada mulanya akibat terkejut sebaik kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa 18 Mac lalu.

"Memang tak tahu nak buat apa sebab perkara berlaku tanpa duga. Wabak Covid-19 tiba-tiba muncul dan saya pula ketika itu tiada perancangan lain dalam perniagaan.

"Risau yang teramat sangat juga dibuatnya kerana memikirkan nasib 100 pekerja saya. Ditambah, semua mereka adalah warga tempatan. Takkan saya perlu berhentikan mereka kerja untuk selamatkan perniagaan?

"Pekerja saya adalah nadi pada kejayaan perniagaan Bizmilla Catering yang diusahakan selama ini. Jadi, menjaga kebajikan mereka adalah tanggungjawab saya sebagai majikan," katanya.

Enggan mengalah berhadapan dugaan dan mengorbankan kebajikan pekerjanya, Milla mengambil inisiatif dengan mempelbagaikan cabang perniagaannya untuk terus bertahan.

Milla atau nama sebenar Norsyarmilla Jirin, 33, berkata, dia akhirnya sangat bersyukur kepada Allah SWT kerana membantu memberi idea kepadanya.

"Alhamdulillah, Allah berikan saya dan suami idea untuk kami kembangkan perniagaan diusahakan melalui tempahan kek dan pastri.

"Tidak hanya itu, saya kemudian terfikir mahu menjual durian pula berikutan di kampung di Pulau Pinang ada musim durian. Jadi, apa salahnya saya cuba jual durian," katanya.

Menurut Milla, dia bagaimanapun tidak melihat jumlah keuntungan diperoleh, sebaliknya sekadar mahu mempelbagaikan cabang perniagaan.

"Kalau nak fikir untung yang diterima daripada mengambil tempahan kek dan pastri serta menjual durian, tidak sebanyak mana. Tetapi, saya nekad melakukannya sebagai salah satu usaha.

"Daripada duduk di rumah sahaja dan menunggu penularan Covid-19 reda sepenuhnya, lebih baik saya mengembangkan cabang perniagaan meskipun untungnya kecil," katanya.

Menurut penyanyi lagu Persis Mutiara ini, dia dan suaminya juga merancang menerokai perniagaan baharu yang diyakini boleh membantu orang ramai pada masa kini.

Katanya, mereka bercadang menyediakan perkhidmatan membeli barangan keperluan dapur secara dalam talian dan aplikasi berkenaan dijangka diperkenalkan pada Ogos depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Julai 2020 @ 6:30 AM