MILA.
MILA.
Ramlah Zainal


Bakatnya dalam bidang nyanyian terbukti apabila bergelar juara program realiti Akademi Fantasia musim kelima (AF5) pada 2007.

Malah, Mila atau nama penuhnya, Noorsyarmila Jirin tidak menoleh ke belakang lagi dengan menghasilkan album dan lagu yang meniti di bibir peminat.

Namun, selepas berumah tangga dengan pengurusnya sendiri, Ahmad Ailis Mohamed Mustapha, 37, pada 12 November 2015, anak jati Pulau Mutiara ini seakan-akan menyepikan diri.

Mila mengakui dia sengaja memperlahankan aktiviti seninya buat seketika untuk menumpukan perhatian terhadap bisnes.

“Saya bermula sebagai penyanyi dan ia adalah minat dan periuk nasi saya sejak dulu.

“Justeru, tidak pernah terdetik di hati untuk meninggalkan bidang ini kerana ia sebati dengan diri.

“Saya masih memenuhi undangan persembahan majlis makan malam dan korporat apabila ada kelapangan,” katanya.

Ditanya mengenai album baru, penyanyi yang popular dengan lagu Persis Mutiara ini berkata, ia dalam perancangan.

“Terus terang, saya rindu untuk kembali merakamkan lagu di studio .

“Insya-Allah, ada perancagan menghasilkan lagu baru bagi mengubat kerinduan peminat.

“Ia mengambil masa agak lama kerana saya mahu mencari material berkualiti untuk kepuasan diri dan peminat,” katanya.

Bergelar jutawan

Menceburi dunia perniagaan sejak berusia 19 tahun, Mila mampu berbangga dengan empayar yang dibina.

Sepanjang tempoh 10 tahun, Mila memiliki lima rangkaian bisnes di bawah empayar Bizmilla.

“Bizmilla Catering dalam perancangan membuka beberapa dewan perkahwinan sekitar Selangor dan ada juga rencana menceburi perniagaan perhotelan serta hartanah.

“Kini, tumpuan sepenuhnya diberikan kepada anak syarikat Bizmilla yang baru iaitu Biz Milla NZ Beauty,” katanya.

Diminta mengulas dakwaan dirinya bergelar jutawan, Milla mengakui bersyukur dengan apa dikecapi hari ini.

“Alhamdulillah, rezeki milik Allah. Rezeki yang ada ini dapat dikongsi dengan keluarga, pekerja serta golongan memerlukan.

“Rahsia kejayaan saya adalah sentiasa mencipta peluang, usaha, tawakal, berdoa dan berserah kepada Allah.

“Saya juga teringin berkongsi dan melahirkan lebih ramai usahawan rakan niaga,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mila bakal berkongsi jatuh bangunnya dalam dunia bisnes dengan memulakan jelajah Bicara Keusahawanan untuk memupuk minat dan memberi motivasi kepada masyarakat.

Siri Jelajah percuma ini diakan di Alora Hotel Bayan Baru, Pulau Pinang pada 3 petang hari ini diikuti Pekarangan Masjid Barat Daya, Balik Pulau pada esok sempena Hari Koperasi peringkat Pulau Pinang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Ogos 2016 @ 5:18 AM