MILLA sanggup ambil tempahan kek dan pastri. FOTO IG
MILLA sanggup ambil tempahan kek dan pastri. FOTO IG
Norhayati Nordin

PENYANYI dan usahawan terkenal, Milla Jirin melakukan inisiatif dengan mempelbagaikan cabang perniagaannya untuk terus bertahan, dan tidak perlu membuang pekerjanya seramai 100 orang.

Milla atau nama sebenar Norsyarmilla Jirin, 33, berkata langkah mengembangkan cabang perniagaan itu dibuat berikutan mengambil kira kebajikan pekerjanya yang terdiri daripada warga tempatan.

"Sebenarnya, apabila pandemik Covid-19 ini melanda negara secara tiba-tiba, saya memang panik dan rasa sangat terkesan pada mulanya kerana tak tahu nak buat apa.

"Apatah lagi, aktiviti perniagaan pakej perkahwinan Bizmilla Catering yang diusahakan sejak tujuh tahun lalu harus diberhenti serta-merta kerana kerajaan melaksana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Termasuk juga, perniagaan restoran saya.

"Semuanya berlaku sekelip mata dan saya bersama suami pula tiada perancangan lain ketika itu. Namun, Alhamdulillah Allah berikan idea untuk kami kembangkan perniagaan melalui tempahan kek dan pastri," katanya.

Tidak hanya itu, Milla berkata dia kemudiannya terfikir mahu menjual durian pula berikutan di kampungnya di Pulau Pinang ada musim durian. Ujarnya dia tidak melihat jumlah keuntungan diperoleh, sebaliknya sekadar mahu mempelbagaikan cabang perniagaan.

MILLA menjual durian. FOTO IG
MILLA menjual durian. FOTO IG

"Kalau nak fikir untung, menerima tempahan kek dan pastri serta menjual durian, tidaklah sebanyak mana. Tetapi, saya nekad melakukannya sebagai salah satu usaha.

"Daripada duduk di rumah sahaja dan menunggu keadaan penularan Covid-19 reda sepenuhnya yang tidak pasti bila masa, lebih baik saya mengembangkan cabang perniagaan meskipun untungnya kecil," katanya.

Menurut penyanyi lagu Persis Mutiara ini, dia dan suaminya kini merancang menerokai perniagaan baharu iaitu menyediakan perkhidmatan membeli barangan keperluan dapur secara dalam talian (online).

Ujarnya, kini segala urusan masih dalam proses membangunkan satu aplikasi khas yang akan disiapkan tidak lama lagi. Ujarnya, aplikasi berkenaan mungkin dapat dilancar sekitar Ogos nanti.

Selain itu, Milla juga mengucap syukur tidak terhingga ke hadrat Yang Esa apabila kerajaan sudah membenarkan penganjuran majlis perkahwinan diadakan semula pada 1 Julai ini.

Katanya dia akan menyusun atur semula semua aspek penyediaan perkhidmatan mengikut semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan berikutan wabak Covid-19 wujud dalam komuniti.

"Terima kasih kepada kerajaan di atas keprihatin terhadap pengusaha perniagaan pakej perkahwinan seperti saya dan juga orang lain untuk kami 'bernafas semula' memajukan sektor ini yang terjejas selama lebih tiga bulan" katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Jun 2020 @ 8:11 PM