DATUK Fizz Fairuz
DATUK Fizz Fairuz
Ridzuan Abdul Rahman


"SEKADAR lihat dan tinjau-tinjau sahaja," kata pelakon Datuk Fizz Fairuz mengenai perkongsian berkenaan sebuah rumah baharu yang cantik dan luas di Instagram, baru-baru ini.

Hantaran yang dibuat sempena Hari Bapa dengan keterangan 'Jeng jeng jeng...apa tu? Tunggu...ada rezeki adalah...hadiah Hari Bapa hahaha...dengan tanda nama (tag) Instagram isterinya Almy Nadia berkemungkinan mengenai rumah baharu mereka.

Fizz, 40, atau nama sebenarnya Mohd Fairuz Zainal Abidin ketika dihubungi berkata, dia sekadar membawa keluarganya meninjau rumah itu.

"Sempena Hari Bapa, sebagai bapa biarlah saya pula beri hadiah kepada keluarga. Tapi, sebenarnya saya belum beli lagi. Seperti saya katakan, sekadar tengok-tengok sahaja. Insya-Allah kalau lepas pinjaman bank barulah boleh difikirkan. Sekarang dalam peringkat tinjau mana-mana rumah yang sesuai.

"Saya ada impian dan perancangan untuk keluarga. Kalau ada rezeki, nak cari rumah yang lebih selesa," katanya.

Menurutnya, dia sudah lama teringin untuk tinggal di rumah teres seperti itu.

"Saya tengok isteri dan anak-anak berkenan dan suka. Mereka macam teruja kerana sekarang kami duduk di kondominium. Kalau rumah ini nanti, ia lebih luas dan anak-anak boleh bebas bermain. Apapun saya akan terus mencari rumah yang bersesuaian.

"Saya kini sedang berurusan dengan bank. Namun kena tengok harga rumah juga kerana saya bukan kerja makan gaji dan kena menyimpan terlebih dulu," katanya.

Fizz berkata, dia berpegang pada pepatah ukur baju di badan sendiri dan beli mana yang termampu.

"Kalau tak mampu, jangan nak berlagak kerana nanti tak dapat bayar susah pula jadinya. Memang amat bahaya kalau tak bijak buat perkiraan," katanya yang akan terbabit dengan penggambaran bulan depan.

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Jun 2020 @ 10:45 AM