Woo Do-hwan
Woo Do-hwan
Agensi

PELAKON popular Korea Selatan, Woo Do-hwan mengejutkan peminat apabila mengumumkan akan mengikuti latihan wajib ketenteraan bulan depan menerusi sepucuk surat yang  dimuat naik di Instagram, semalam.

Menerusi surat itu, pelakon siri The King: Eternal Monarch itu meluahkan rasa kesal kerana tidak berkesempatan untuk bertemu dan mengucapkan selamat tinggal.

"Saya akan mendaftar sebagai tentera pada 6 Julai ini. Saya berasa menyesal kerana tidak dapat bertemu dengan anda dan mengucapkan selamat tinggal.

"Anda mungkin terkejut dengan perkhabaran yang tiba-tiba ini, tetapi saya menulis surat ini kerana saya ingin mengumumkan ini secara peribadi kepada anda iaitu peminat saya terlebih dahulu," katanya.

Isi surat itu juga antara lain Do-hwan  mengucapkan terima kasih kepada semua peminat yang menyokong kerjaya seninya selama ini.

"Saya gembira ketika menjayakan setiap projek. Terima kasih atas cinta yang diberikan semua orang kepada saya. Terima kasih juga kerana sudah menyaksikan saya di usia 20-an dan mencintai saya. Berkat itu, saya boleh menghabiskan usia 20-an dengan sangat bahagia," katanya.

Do-hwan juga meminta dan berharap semua peminat agar terus sihat dan berbahagia biarpun masih berdepan penularan pandemik Covid-19.

"Saya akan kembali dalam keadaan sihat, baik dan bekerja sekali lagi. Saya sangat mencintai anda semua dan berasa sangat bersyukur. Tiada kata-kata yang dapat saya ungkapkan," katanya.

Rakan artis lain iaitu Jung Il-woo dan pelakon yang turut terbabit dalam siri The King: Eternal Monarch, Kim Go-eun, turut menulis di ruangan komen.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Jun 2020 @ 10:36 AM