HENDERSON bakal sertai Al-Ettifaq. FOTO Agensi
HENDERSON bakal sertai Al-Ettifaq. FOTO Agensi
AFP

London: Kapten Liverpool, Jordan Henderson mengucapkan selamat tinggal kepada peminat kelab itu menjelang perpindahan ke kelab Arab Saudi, Al-Ettifaq.

Pemain berusia 33 tahun itu bakal menamatkan tempoh 12 tahun di Anfield yang menyaksikannya memenangi setiap gelaran utama dan kini bergabung semula dengan bekas rakan sepasukan, Steven Gerrard, yang kini menjadi pengurus kelab itu di Liga Pro Saudi.

"Sukar untuk menyatakan 12 tahun terakhir ini dengan kata-kata dan lebih sukar untuk mengucapkan selamat tinggal.

"Saya akan sentiasa menyokong Red. Sehingga hari saya mati. Terima kasih untuk segalanya. Anda tidak melangkah sendirian," kata pemain antarabangsa England itu menerusi video di Instagram.

Henderson menambah: "Saya berada di bilik persalinan (Liverpool) buat kali terakhir, jadi, seperti yang anda boleh bayangkan, ia sangat beremosi.

"Tempoh selama 12 tahun ini sangat bermakna kepada saya dan keluarga. Menjadi kapten Kelab Bola Sepak Liverpool adalah satu penghormatan terbesar dalam hidup saya.

"Sejak hari lilitan itu diserahkan kepada saya, saya melakukan segala yang termampu untuk berkelakuan seperti kapten Liverpool.

"Terima kasih kerana memberi peluang kepada saya menjadi sebahagian daripada kelab anda, terima kasih atas sokongan anda semasa senang mahupun susah."

Henderson mengetuai The Reds merangkul kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) pertama mereka selepas 30 tahun pada 2020, setahun selepas menjulang Liga Juara-Juara.

Bagaimanapun, pemain tengah England itu tidak mampu menolak tawaran lumayan untuk menyertai Gerrard selepas dilaporkan ditawarkan perjanjian bernilai sehingga £700,000 seminggu (RM4.1 juta).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Julai 2023 @ 8:59 AM