KENANGAN BCL bersama Allahyarham Ashraf Sinclair.
KENANGAN BCL bersama Allahyarham Ashraf Sinclair.
Georgie Joseph

 

PENYANYI dan pelakon Bunga Citra Lestari berkongsi sebuah video khas buat arwah suaminya, Allahyarham Ashraf Sinclair di YouTube berjudul BCL 'Dear Love...'.

  Menurut Bunga, Aidilfitri yang disambut kali ini cukup berbeza buat dirinya apatah lagi tanpa Ashraf di sisi dan tidak pernah satu hari pun dirinya tidak merindui suaminya itu.

  "Buat cintaku, meskipun ragamu sudah tiada di sini, tapi jiwamu akan selalu berada dengan jiwa kami. Dan mendoakanmu, adalah caraku untuk mencintaimu.

  "Maaf lahir batin, ya sayang. Buat cintaku, saya merinduimu setiap hari. Kami tahu, kamu mahu kami jadi gembira," katanya.

Bunga turut berkongsi betapa dia bersyukur dikelilingi keluarga tersayang bagi meraikan Aidilfitri kali ini meskipun tanpa Ashraf.

"Di saat ini, kita semakin menyedari bahawa di luar segala cobaan yang hadir dalam hidup kita, kami bersyukur memiliki sesama sendiri.

"Seperti biasa, aku menyediakan masakan untuk lebaran kali ini seperti saat kamu masih ada. Teruskan tradisi untuk menjadikan ia mudah untuk Noah menjalani normal baharu," katanya.

Selepas lima jam dimuat naik, video berkenaan mendapat lebih 461,000 tontonan dan lebih 131,000 tanda suka.

Terdahulu, Bunga turut berkongsi pautan video terbabit menerusi IG Story dan berkata dia baru ada kekuatan untuk berkongsi mengenai perjalanan hidupnya kembali.

"Ini bukan perjalanan yang mudah. Bahkan, aku masih tidak tahu berada di mana. Kadang bergerak maju dua langkah, lalu mundur satu langkah.

"Tapi aku cuba terus berjalan. Kerana ini adalah sebuah proses panjang yang harus dijalani. Di saat ini, aku memberanikan diri untuk sedikit berbagi mengenai hidupku, perjalananku," katanya.

Februari lalu, dunia hiburan dikejutkan dengan berita pemergian Ashraf di Rumah Sakit Metropolitan Medical Centre (MMC), Kuningan, Jakarta.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mei 2020 @ 5:07 PM