BUNGA dan Allahyarham Ashraf Sinclair ketika bercuti di New York, baru-baru ini. FOTO Instagram Bunga Citra Lestari
BUNGA dan Allahyarham Ashraf Sinclair ketika bercuti di New York, baru-baru ini. FOTO Instagram Bunga Citra Lestari
Georgie Joseph


SELEPAS menyepi di laman sosial sejak pemergian Allahyarham Ashraf Sinclair pada 18 Februari lalu, penyanyi dan pelakon Bunga Citra Lestari meluahkan isi hati di Instagram bersempena hari istimewa ulang tahun kelahirannya hari ini.

Bunga mengakui amat sukar untuk mengembalikan semangat diri sejak suaminya meninggal dunia, namun tetap kuat bagi meneruskan kehidupan.

“Ini bukan perjalanan yang mudah, tapi sedikit demi sedikit aku berusaha bangkit dan berjalan. Di hari ulang tahunku ini, kalau boleh, aku minta kirimkan doa-doa untuk Ashraf dan untuk kita semua agar selalu dilindungi dari marabahaya.

“Jaga keselamatan semua, dan tolong duduk di rumah. Marilah kita sama-sama menjaga diri,” tulisnya di Instagram.

Penyanyi lagu Wanita Terbahagia itu juga mengucapkan terima kasih tidak terhingga buat semua yang terus memberikannya kata semangat dan sokongan selama ini.

“Saya tahu saya tidak berkongsi apa-apa kebelakangan ini kerana sejujurnya masih belum mampu. Namun pada hari yang sangat istimewa ini, ulang tahun kelahiran saya, saya putuskan untuk buat perkongsian ini.

“Aku mahu bilang terima kasih untuk semua ucapan dan cinta yang diberikan untuk aku. Saya terberkati, dikelilingi keluarga, sahabat, peminat dan semua yang menyayangi dan memberikan sokongan,” katanya.

Terdahulu, dunia hiburan tempatan dan Indonesia dikejutkan dengan berita pemergian Ashraf di Rumah Sakit Metropolitan Medical Centre (MMC), Kuningan, Jakarta, akibat serangan jantung.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Bunga Citra Lestari dan anak lelaki, Noah Aidan Sinclair yang berusia 10 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mac 2020 @ 1:34 PM