ANUAR bernyanyi sambil beramah mesra bersama penonton.
ANUAR bernyanyi sambil beramah mesra bersama penonton.
Oleh Khairul Najib Asarulah Khan

"Saya idamkan wanita berperwatakan menarik dan peramah serta mudah didampingi.

"Saya tak tetapkan usia bila saya nak berkahwin, tapi nampaknya hingga sekarang calonnya belum ada," kata penyanyi popular Anuar Zain, 44, mengenai wanita impiannya.

Anuar berkata, dalam hal jodoh dia sentiasa positif dan menyerahkannya kepada Allah SWT.

"Wanita berperwatakan demikian memudahkan lagi saya mendampinginya dan membuatkan dia selesa dengan rakan dan peminat saya nanti," katanya ketika ditemui selepas mengadakan persembahan di Festival Musik Matrix Soundscape di Bandar Sri Sendayan, Seremban, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Anuar turut berazam meningkatkan kariernya pada tahun depan dan sentiasa mempertingkatkan fikiran yang positif.

"Saya harapkan dengan azam itu dapat murahkan lagi rezeki saya dalam pelbagai aspek seperti kerjaya, urusan dan pengurusan diri," katanya yang sudah bergelar penghibur sejak kanak-kanak lagi.

Sebanyak lima lagu dinyanyikannya sepanjang konsert itu nyata mengubat rindu kira-kira 5,000 penonton pelbagai bangsa termasuk peminat fanatiknya yang turut menyanyi bersama.

Memulakan persembahan dengan menyampaikan lagu Kau Bunga Cintaku, Anuar bijak membuai perasaan peminat sebelum mengakhiri persembahan dengan lagu popularnya Sedetik Lebih.

Sikapnya yang sentiasa menghargai peminat terserlah apabila dia turun dari pentas menemui peminat yang berebut-rebut bersalaman dengannya.

Lagu lain yang turut dinyanyikan ialah Ajari Aku, Sesucinya Cintamu dan Ketulusan Hati.

Festival muzik percuma anjuran Matrix Concepts Holdings Berhad itu menampilkan penyanyi popular lain seperti Jaclyn Victor, Datuk Hattan, Jess Lee, Nicholas Teo, W.A.R.I.S dan bakat baru, Mei Sim.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Disember 2014 @ 5:03 AM