Haiza Hanafi
Haiza Hanafi
Syafil Syazwan Jefri

 

PENYANYI dan penyampai radio Kool FM, Haiza Hanafi menerbitkan program khas Memori Bersama bagi mengimbau kenangan bersama dua sahabat baiknya yang meninggal dunia iaitu Allahyarham Datuk Nassier Wahab dan Mya Ruslee.

  Haiza berkata, program yang disiarkan selama sejam untuk setiap slot itu turut berkongsi cerita eksklusif yang tidak pernah disiarkan sebelum ini.

  "Setiap penyampai ditugaskan untuk menerbitkan satu program khas sempena Aidilfitri dan saya mencadangkan program Memori Bersama ini memandangkan saya kehilangan dua rakan baik iaitu Kak Mya dan Abang Nassier.

  "Untuk slot Kak Mya, ia disiarkan jam 3 petang semalam manakala untuk slot Abang Nassier, pada jam 4 petang. Banyak cerita eksklusif yang dikongsikan mengenai kedua-dua mereka yang mungkin ramai tak tahu," katanya kepada Harian Metro.

  Menurut Haiza, dia berpeluang temu bual ahli keluarga dan rakan terdekat kedua-dua penyanyi popular yang meninggal dunia akibat kanser itu.

  "Untuk berkongsi mengenai Kak Mya, saya temu bual adik yang juga pembantu peribadinya, Diana Ruslee. Jadi, banyak perkara yang dikongsikan oleh Diana yang mungkin belum diketahui oleh peminat dan saya sendiri memandangkan, Mya tidak banyak berkongsi mengenai penyakitnya.

  "Bagi segmen Abang Nassier pula, saya temu bual rakan terdekat. Antaranya, Salwa Abdul Rahman yang memang sangat rapat dengan arwah," katanya.

  Haiza berkonhsi, Hari Raya Aidilfitri yang disambut kelmarin juga sedikit sebanyak mengimbau kenangan bersama kedua-dua sahabatnya itu dan sehingga kini, masih segar dalam ingatan.

  "Setiap tahun, kami akan berkumpul di majlis rumah terbuka. Tentunya, banyak kenangan tercipta. Semoga program ini dapat mengubat kerinduan kita semua kepada mereka," katanya.

  Program itu juga mendapat sambutan sehinggakan ramai peminat yang bertanya sama ada ia akan diulang siar.

  "Bagi yang tak berkesempatan mendengarkan program Memori Bersama semalam, anda boleh dengarkan siaran ulangan pada hari raya keenam, jam 12 tengah hari," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mei 2020 @ 5:07 PM