Penyanyi dan pengacara, Haiza
Penyanyi dan pengacara, Haiza
Ridzuan Abdul Rahman


Serdang: "Permintaan terakhir papa (Jaafar Onn) ialah nak kerusi urut. Katanya saja nak buat baring nak rehat dengan selesa." demikian kata penyanyi Haiza.

Haiza atau Rohaizah Nordin, 44, mengulas kenangan terakhir dengan Allahyarham Jaafar Onn yang meninggal dunia pagi ini.

Kata Haiza lagi, dia turut merujuk permintaan Jaafar itu kepada mereka yang berkaitan.

"Saya rujuk juga dengan anak angkatnya Hanif. Saya juga tanya pendapat rakan-rakan artis lain antaranya Kak Salwa, Ismaliza dan Rina Eva dalam grup WhatsApp yang kami wujudkan.

"Mereka cakap kerusi urut tidak sesuai untuk arwah kerana mencengkam tapak kaki dia kerana kakinya dah keluar air bisa. Saya bertanya kepada yang menderma agar dapat keluarkan duit tunai untuk transfer duit ke akaun dia," katanya ketika ditemui di perkarangan bilik forensik Hospital Sultan Idris Shah, Serdang hari ini.

Menurut Haiza, dia terkejut apabila Hanif memberitahu jantung Allahyarham terhenti.

"Memang saya pun rancang nak lawat papa hari ini. Saya berjanji dengan ramai kawan artis untuk turut serta. "Rasa terkilan juga kerana tak sempat bertemu dia. Tapi papa pun faham kerja kita macam mana," katanya.

Menyingkap pengalaman bersama, Haiza menjelaskan hubungannya dengan Allahyarham ibarat anak dan bapa.

"Kami sangat rapat. Sebelum kahwin saya berada dalam karier seawal 15 atau 16 tahun, saya dah kenal dia. Saya belajar untuk jadi seorang pengacara pun dari pemerhatian saya kepada dia.

"Banyaklah ilmu, kebaikan dia, rezeki dia yang diberikan kepada saya. Yang dikongsi kepada orang ramai, semua itu sayalah saksi. Dan dia tak pernah berhenti waktu dia sihat dulu memang aktif.

"Dia ajak saya pergi rumah artis hantar bantuan. Waktu itu saya dapat kenal artis-artis. Itu sebabnya saya kenal artis-artis lama semua dari jasa-jasa dia," katanya.

Menurutnya, Jaafar seorang yang aktif atas pentas termasuk ketika memasak.

"Dia masak manakala saya bercakap sebagai hos. Dulu dia tak pernah ada sakit. Orangnya aktif dan jaga pemakanan.

"Bila tahu dia on and off masuk hospital, memang keraplah kita berhubung. Saya tanya dia nak makan apa, dia jawab kata terasa nak makan itu ini dan terus order hantar guna e-hailing.

"Saya sedih kerana seorang demi seorang rakan artis meninggal dunia selepas Maya Matahari, Datuk Nassier Wahab, Rohana Jalil, Ibnor Riza dan sekarang papa pula," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2024 @ 4:25 PM