IQBAL M. dipilih sebagai Best Artist.
IQBAL M. dipilih sebagai Best Artist.
Ridzuan Abdul Rahman


PROGRAM sulung TAPAUawards yang berlangsung baru-baru ini adalah satu kejayaan besar dalam mengiktiraf penggiat muzik bebas (indie) tempatan yang mencetuskan impak positif terhadap industri seni negara sepanjang tahun lalu.

Acara ini berlangsung santai dan meriah di The Bee, Publika, Kuala Lumpur dihoskan penyampai radio Era FM, Haniff Hamzah.

TAPAUawards mempertandingkan sembilan anugerah diberikan kepada pemuzik yang kreatif dan berbakat serta penggiat seni yang mempunyai kredibiliti tersendiri.

Kategori yang diperkenalkan ialah Best Noisemaker, Best Music Video, Best Album Art, Best Song, Best Album dan Best Artist.

Turut diperkenalkan ialah Yasmin Award, Jeremy Award dan Artist Of The Decade Award.

Pemenang untuk enam kategori iaitu Best Noisemaker, Best Music Video, Best Album Art, Best Song, Best Album dan Best Artist ditentukan menerusi undian peminat di laman web www.TAPAU.asia.

Kumpulan alternatif yang popular dengan genre modern rock, Iqbal M. menguasai TAPAUawards apabila membawa pulang tiga trofi menerusi kategori Anugerah Best Artist, Best Song (Jangan Cakap Saja) dan Best Album Art (PSJKB).

Hadiah buat mereka disampaikan Pengarah The Bee yang juga pemain gitar kumpulan punk rock One Buck Short, Rahul Kukreja, pemain gitar kumpulan Bittersweet, Herri Hamid dan guru reka bentuk tempatan, Irman Hilmi.

HUJAN menang kategori Artist of the Decade.
HUJAN menang kategori Artist of the Decade.

Anugerah Best Album diraih kumpulan Lust menerusi album Tekesima yang disampaikan Mohd Radzi Mohd Jasni, pemilik Teenage Head Records, manakala pasangan elektropop Pastel Lite menerima anugerah untuk Best Music Video daripada pengarah Rewan Ishak dan Razaisyam.

Sementara itu, Anugerah Best Noisemaker yang dikhaskan untuk program atau akaun media sosial yang banyak mempromosikan perkembangan muzik indie diberikan kepada Korek Fizikal terbitan Thinker Studios yang disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Datuk Ahmad Izham Omar.

TAPAUawards 2019 juga memberikan tiga anugerah khas untuk penerima yang dipilih secara bersama oleh penggiat dan penggemar muzik bebas terkenal.

Anugerah Jeremy Awards yang dinamakan sempena penerbit Jeremy Little diberikan kepada kumpulan punk pop muda Hacktick! yang disampaikan pemain gitar kumpulan Seven Collar T- Shirt, Ham Abdullah.

Anugerah Yasmin Ahmad yang diwujudkan sempena nama pengarah terkenal ini diberikan kepada Jennifer Thomson yang disampaikan oleh Aman Ra.

Kumpulan terkenal, Hujan pula diberikan anugerah Artist of the Decade daripada Yuna.

Pengasas TAPAUtv, Ahmad Faris berkata, anugerah ini diperkenalkan bertepatan dengan kewujudan platform media sosial baru yang menarik iaitu TAPAU.asia.

“Ia di mana anak muda dari sekitar Asia Tenggara boleh berhubung dengan penyokong yang sama dan mencipta menjadi sebahagian daripada komuniti dengan pergerakan yang lebih luas.

“Sekarang adalah masanya. Kami tak mahu menunggu orang lain untuk memulakan usaha mengenali bakat menakjubkan yang kita ada,” katanya.

TAPAUawards 2019 dilangsungkan dengan kerjasama The Bee dan Big A Productions.

Ulangan keseluruhan malam anugerah boleh ditonton di https://youtu.be/11PphoZ6Ctc.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 January 2020 @ 11:52 AM