ATILIA. FOTO Mahzir Mat Isa
ATILIA. FOTO Mahzir Mat Isa
Norhayati Nordin

PENYANYI Atilia Haron, 45, tidak akan menyertai pertandingan nyanyian atau tarian secara solo melainkan berpasangan.

Atilia berkata, dia tidak selesa serta kurang yakin beraksi di pentas pertandingan nyanyian atau tarian sekiranya bersendirian.

Penjelasan itu dibuat Atilia apabila ditanya mengapa dia bersetuju menyertai pertandingan Dansa Dan Sing dan sanggup menolak tawaran Gegar Vaganza sebanyak dua kali.

“Sebenarnya saya memang tak boleh bertanding secara solo. Oleh itu, lebih baik saya menolak dan memberi laluan kepada orang lain. Lagipun, saya bukanlah orang yang suka sertai pertandingan,” katanya yang tetap aktif menerima persembahan nyanyian terutama majlis korporat.

Dalam persaingan Dansa Dan Sing, Atilia tampil secara duo bersama rakan baiknya iaitu pengacara Yasmin Hani di dalam kumpulan The Lola.

“Saya kuatkan diri sertai Dansa Dan Sing pun kerana ajakan Hani. Apatah lagi, saya suka menari dan paling utama ada rakan bersama.

“Apapun, melihatkan saingan daripada peserta lain yang lebih muda saya jadi bimbang dan gementar juga. Kebanyakan mereka sangat hebat,” katanya.

BERSAMA Yasmin Hani dalam program Dansa Dan Sing. FOTO Asyraf Hamzah
BERSAMA Yasmin Hani dalam program Dansa Dan Sing. FOTO Asyraf Hamzah

Mengulas mengenai penerimaan ibunya yang juga penyanyi veteran Salamiah Hassan, Atilia berkata, dia mendapat sokongan padu.

“Cuma, awalnya mama anggap saya buat keputusan gila kerana berani menyertai pertandingan ini. Namun, dia tetap menyokong keputusan saya.

“Kini, saya nekad akan berusaha membuat persembahan terbaik bersama The Lola dan harapnya ada rezeki untuk kami kekal bersaing,” katanya.

Pada saingan minggu pertama baru-baru ini, The Lola mendapat tempat tercorot tetapi terselamat kerana tiada penyingkiran.

Selain Atilia dan Yasmin Hani, Dansa Dan Sing turut disertai selebriti lain seperti Arja Lee, Shiha Zikir, Sophia Liana, Chubb-E, Wani Kayrie, Nik Qistina, W.A.R.I.S, Raja Syahiran dan Harris Baba.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 January 2020 @ 11:00 AM