AKUI bukan mudah menyanyi dan menari pada satu masa.
AKUI bukan mudah menyanyi dan menari pada satu masa.
Oleh Norhayati Nordin


MENANG atau kalah, adat pertandingan. Apa yang pasti, sudah mencuba buat yang terbaik sepanjang perjuangan dalam pertandingan disertai.

Bagi penyanyi Wani Kayrie, rezeki tidak pernah salah alamat dan ketentuan Allah itu diterima dengan berlapang dada kerana puas sudah melakukan sebaik mungkin.

Memenangi tempat keempat dalam pertandingan Dansa Dan Sing bersama kumpulan penari dikenali sebagai DeLitz, Wani, 20, menyifatkan ia satu kenangan indah buatnya.

Pemilik nama sebenar Syazwani Abdullah ini berkata, Januari dan Februari lalu adalah bulan yang sukar untuknya kerana perlu memberi fokus pada dua perkara besar dalam hidupnya.

“Pertama, sudah tentu peperiksaan akhir untuk semester ketiga pengajian saya di universiti dan kedua pula tentunya persaingan di pentas Dansa Dan Sing.

“Walaupun sedikit tertekan, namun saya tetap kuatkan semangat. Pelajaran dan kerjaya seni akan bergerak seiring sekiranya saya mampu membuat yang terbaik.

“Segala keputusan dalam tangan saya. Apatah lagi, saya yang perlu motivasi diri sendiri untuk meraih kejayaan diingini. Saya tidak akan berjaya tanpa usaha,” katanya.

Wani yang popular dengan lagu Jangan Jangan dan terbaru Magika, bagaimanapun pernah meraih dua kali Anugerah Dekan dalam bidang Asasi Undang-Undang di Management and Science University (MSU), Shah Alam.

Tetap berbangga dengan pencapaiannya untuk semester ketiga itu, katanya, dia bersyukur banyak pihak mendoakan kejayaannya. Menurut Wani, dia sangat berterima kasih.

“Saya berterima kasih kepada ibu bapa, adik-beradik, rakan dan pensyarah yang terus menyokong termasuk mendoakan saya. Tekad saya untuk seterusnya akan berusaha sehingga berjaya.

“Alhamdulillah, saya bukan orangnya mudah kecewa. Bagi saya, setiap yang berlaku ini sudah ditentukan Allah SWT. Saya perlu akur dan tetap bersyukur,” katanya.

FOKUS aktiviti promosi dan publisiti untuk lagu Magika.
FOKUS aktiviti promosi dan publisiti untuk lagu Magika.

Mengulas juga pencapaian bersama DeLitz, Wani berkata, sesungguhnya Allah adalah pemberi rezeki terbaik. Katanya, dia gembira sudah berada pada tahap itu.

“Bukan mudah untuk melangkah ke pentas akhir. Selama lapan minggu persaingan, saya bersama DeLitz sudah berusaha semampu yang boleh. Ia pengalaman baharu bagi kami.

“Persaingan dengan peserta lain, satu cabaran besar buat kami. Apatah lagi, barisan penyanyi dan kumpulan penari yang bertanding, masing-masing memiliki kekuatan tersendiri.

“Tekanan berhadapan cabaran setiap minggu sangat besar. Apa yang mampu disemat dalam hati, kami perlu buat yang terbaik kerana Dansa Dan Sing adalah pentas pertandingan,” katanya.

Mengakui bukan mudah menyanyi dan menari pada satu masa, Wani berkata, minat sangat penting.

Katanya, selain menyanyi dia juga meminati tarian dan itu membuatkan dia mahu mencabar diri.

Berbicara perkembangan kerjaya nyanyiannya, Wani berkata, kini fokus masih ditumpukan pada aktiviti promosi dan publisiti untuk lagu Magika. Menurutnya, lagu itu adalah satu kelainan yang cuba dipertaruhkan kepada pendengar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mac 2020 @ 6:30 AM