WANI Kayrie. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
WANI Kayrie. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Najiy Jefri

MULA menempatkan diri dalam dunia nyanyian sejak berusia tujuh tahun, Wani Kayrie bersyukur apabila laluan kerjaya seninya semakin membuahkan hasil lumayan walaupun terpaksa menempuh pelbagai onak dan duri.

Wani mengakui, bukan mudah untuk dia bersaing dengan kebanyakan penyanyi muda yang pantas mendaki puncak kejayaan, namun berkat dorongan dan doa ibu tercinta membuatkan dia tidak terus patah semangat.

Wani berkata, dia mengakui bukan mudah untuk menjenamakan dirinya, tetapi kehadiran media sosial sedikit sebanyak membantu melonjakkan namanya.

“Saya akui bukan mudah untuk menempatkan diri dalam industri seni nyanyian. Tambahan pula, kebanyakan penyanyi muda sekarang begitu handal dalam mencipta lagu sedangkan saya hanya mampu berharap dengan syarikat pengurusan kerana terikat dengan pelajaran.

“Jadi, saya tidak mampu untuk menghadap komputer dan mencari idea baru untuk setiap karya yang ingin saya perkenalkan. Mujur media sosial antara medium yang membuatkan saya kekal aktif dalam industri muzik di sebalik pasang surut yang terpaksa saya lalui,” katanya.

Menurut Wani, walaupun banyak pertandingan realiti sudah disertai termasuk di Indonesia, namun dia tidak tahu kenapa namanya sukar dikenali hingga pernah terbit rasa putus asa dalam dirinya.

“Selepas program Big Stage tamat, saya masih merasakan ramai yang belum mengenali saya. Mungkin ia disebabkan pembawakan saya dalam program itu yang kelihatan senyap dan tidak terlalu menonjol. Malah, ketika menyertai pertandingan Dangdut Academy Asia 4 juga pun sama. Tak ramai yang kenal dengan Wani Kayrie.

MAHU bahagiakan keluarga terutama ibu. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
MAHU bahagiakan keluarga terutama ibu. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

“Memang saya hampir putus asa. Saya bukan baru dalam industri muzik. Sejak kecil saya sudah membina nama dalam bidang nyanyian ini. Saya sudah bertekad fokus dengan pelajaran, tapi orang sekeliling yang banyak bagi nasihat dan sokongan supaya saya kekal optimis.

“Lagipun, tidak semua orang dikurniakan bakat ini dan niat utama saya dalam bidang ini pun sebab nak bantu pendapatan keluarga. Saya nak bahagiakan keluarga terutama ibu yang banyak berkorban selama ini,” katanya.

Wani mengakui, dia berasa ketinggalan tatkala melihat rakan seperjuangan dalam Big Stage sudah mempunyai nama, tetapi dirinya masih sama membuatkan dia seakan tidak berdaya lagi.

“Sering juga tertanya-tanya apa kurangnya saya berbanding mereka? Saya bukan dengki melihat kejayaan mereka, tapi saya juga sudah sedaya upaya memberikan yang terbaik.

“Bayangkan saya pernah terdetik untuk tidak mahu lagi fokus dengan karier nyanyian dan mahu memberi fokus terhadap pelajaran, tapi saya bersyukur rakan-rakan dan keluarga sentiasa ingatkan saya supaya tidak pernah menyerah kalah. Rezeki itu pasti tiba apabila sudah sampai waktunya,” katanya.

Gigih sertai program realiti

Bermula dengan penyertaannya dalam program realiti Kamilah Bintang pada 2010 sehingga yang terbaharu Dansa Dan Sing yang kini bersiaran di Astro Ria, gadis berusia 20 tahun ini dilihat optimis menyertai pertandingan realiti.

Jika ada artis sudah jemu untuk menyertai program realiti kerana komitmen yang perlu diberikan sangat mencabar, namun Wani mempunyai pandangan sendiri.

“Apa yang saya lakukan ini adalah dorongan emak saya. Sejak kecil emak yang akan membawa saya menyertai sebarang pertandingan supaya saya mencari duit daripada kecil. Kini jejak langkah itu diteruskan dua adik saya.

“Emak ingin anak-anaknya berdikari dan punya pendapatan sendiri apabila sudah dewasa. Jadi tiada timbul soal penat atau bosan apabila dari kecil sudah menyertai program realiti.

“Cumanya kehadiran dalam program realiti sedikit sebanyak dapat menaikkan nama sendiri. Alhamdulillah walaupun tidak sampai pada tahap yang boleh dibanggakan, tapi umum semakin kenal.

“Malah, salah satu sebab saya sertai pun sebab nak asah kebolehan dalam bidang tarian kerana pertandingan Dansa Dan Sing ini 70 peratus dinilai daripada persembahan manakala 30 peratus daripada nyanyian.

“Saya nak timba ilmu dan nak masuk pertandingan ini pun bukan berbayar. Saya nak ambil peluang ini dan cuba sebaik mungkin bersama penari saya iaitu DeLitz,” katanya.

Ibu mahu Wani jadi peguam

Wani yang mengikuti pengajian dalam jurusan undang-undang di sebuah pusat pengajian tinggi di Shah Alam kini di tahun terakhir untuk program asasi.

Walaupun hampir setiap hari sibuk dengan kelas, namun dia berjaya membahagikan masa antara pelajaran dan karier nyanyian.

“Jika ditanya minat, saya lebih cenderung untuk mengikuti pengajian dalam bidang perniagaan atau perhubungan awam. Namun, emak pula mahu melihat saya menjadi peguam.

“Sebagai anak sulung, saya cuba penuhi impiannya dan menjadi contoh kepada adik. Saya tidak mahu menghampakan emak yang berharap sangat saya menjadi peguam.

“Saya bersyukur tak lama lagi akan sambung pula dengan ijazah dan diharapkan semuanya dipermudahkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 January 2020 @ 6:00 AM