SOPHIA teruja keluar single sendiri. FOTO Rohanis Shukri
SOPHIA teruja keluar single sendiri. FOTO Rohanis Shukri
Georgie Joseph


SEJAK kemunculan kumpulan DeFam, tidak dinafikan dua anggotanya iaitu Azira Shafinaz dan Cik Manggis lebih menyerlah berbanding Sophia Liana.

Sophia jarang kelihatan di TV dan tidak menceburi bidang lakonan langsung.

Sophia berkata, dia sebenarnya sibuk dengan kerjaya di belakang tabir sebagai komposer.

Katanya, dia lebih selesa memberi fokus 100 peratus dengan muzik dan kerap menghabiskan masa dalam studio rakaman.

Bukan tiada tawaran selain menyanyi, sebaliknya dia berpegang teguh kepada prinsip asalnya yang mahu mencapai cita-cita menjadi penyanyi rap terkenal dan pencipta lagu.

“Niat asal saya menceburi bidang hiburan adalah mahu menjadi penyanyi rap dan komposer yang berjaya. Tiada lain yang saya inginkan daripada dua perkara itu dan masih terus fokus untuk merealisasikannya.

“Sebenarnya, saya pernah mendapat tawaran untuk berlakon dua tahun lalu. Bagaimanapun, saya beritahu pihak pengurusan bahawa saya hanya mahu tumpukan perhatian terhadap muzik.

“Dalam tempoh itu, saya sibukkan diri dalam studio untuk menghasilkan lagu. Tahun lalu, saya juga mula menghasilkan lagu sendiri untuk projek solo saya tidak lama lagi,” katanya.

Sophia berkata, dia tidak pernah merasa kekurangan berbanding Azira dan Manggis hanya disebabkan mereka lebih ke depan.

Baginya, dia melakukan aktiviti yang lebih dekat dengan jiwanya untuk kepuasan diri.

“Bukan sekadar menghasilkan lagu untuk pasaran muzik, saya juga sebenarnya banyak buat lagu untuk pelanggan. Contohnya, saya ada menghasilkan lagu untuk sebuah jenama syampu rambut terkenal. Selepas ini saya juga bakal terbabit dalam projek menghasilkan dan menyanyikan lagu tema untuk sebuah program berprestij. Saya gembira dengan setiap rezeki itu memandangkan itulah sebenarnya yang saya sangat suka lakukan,” katanya.

Sophia juga teruja bakal tampil dengan lagu solo tidak lama lagi dan dia kini dalam proses menyiapkan lagu itu untuk dilancarkan bulan depan.

“Saya memang sedang siapkan lagu. Saya akan keluarkan sebuah lagu hip hop tapi lebih kepada pop tari disebabkan saya mahu ketengahkan kru tarian saya iaitu Budak Ngam.

“Mereka adalah penari yang kini bersama saya dalam pertandingan Dansa Dan Sing. Kini ramai sudah nampak saya dengan mereka dan sebab itu saya mahu terus gunakan khidmat mereka selepas ini,” katanya.

Dalam pada itu, Sophia mengakui menaruh harapan tinggi untuk meraih kejuaraan dalam pertandingan Dansa Dan Sing.

Menurutnya, dia tidak mahu mensia-siakan kepercayaan peminat yang jelas tidak pernah berhenti menyokongnya.

“Tinggal lagi dua minggu untuk pertandingan itu berakhir. Alhamdulillah, undian peminat sentiasa berpihak kepada saya dan berada konsisten pada kedudukan dua teratas setiap minggu.

“Semestinya saya mengharapkan beroleh kejuaraan dan pasti terus memberikan persembahan terbaik. Bagi saya, platform ini benar-benar berjaya membuka mata dengan kehadiran saya,” katanya.

Sophia turut bersyukur apabila Azira dan Manggis sentiasa

memberikan sokongan dalam pertandingan itu.

Merekalah yang sentiasa menjadi rujukannya juga dalam mendapatkan idea lebih baik untuk setiap persembahan.

“Setiap minggu, saya akan sentiasa babitkan mereka dalam sesi memerah idea. Kalau mereka tiada komitmen, mereka akan sentiasa hadir menyokong saya di pertandingan itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Februari 2020 @ 6:20 AM