SYAMEL tak ambil pusing dakwaan dia menumpang populariti Ernie Zakri. FOTO Aziah Azmee
SYAMEL tak ambil pusing dakwaan dia menumpang populariti Ernie Zakri. FOTO Aziah Azmee
Ardini Sophia Sina


TIDAK perlu diperkenalkan secara terperinci, Syamel antara penghibur yang tidak pernah menghampakan peminat setiap kali tampil membuat persembahan dalam apa jua acara.

Pemilik nama sebenar Syameel Aqmal Mohd Fodzly ini sudah lima tahun membina kerjaya sebagai anak seni. Meskipun momentum sedikit perlahan, ia masih berjalan lancar.

Mempunyai kekuatan tersendiri, Syamel bagaimanapun terkilan apabila ada segelintir individu yang mendakwa dia terkenal disebabkan persahabatan dan lagu duet bersama Ernie Zakri.

“Ya, memang benar kami sering digandingkan bersama tapi tolonglah jangan lihat ia dari sudut negatif. Tidak ada sesiapa pun antara kami yang tumpang populariti. Isu ini seolah-olah cuba menjatuhkan semangat.

“Ada juga yang cakap, saya bernasib baik dapat kenal dengan Ernie kerana tanpa dia, orang tak kenal saya pun. Bagi saya, masing-masing ada kekuatan sendiri dan tidak perlu dibanding-bandingkan,” katanya.

Perkara ini bukanlah cerita baharu, tetapi mulai diperkatakan sejak Syamel berganding dengan Ernie dalam program realiti Duo Star 2015. Jejaka berusia 25 tahun ini mendakwa, ada pihak cuba melaga-lagakan mereka.

SYAMEL dan Ernie akan buat persembahan pada Konsert Karya Agung Pak Ngah bulan depan. FOTO Aziah Azmee
SYAMEL dan Ernie akan buat persembahan pada Konsert Karya Agung Pak Ngah bulan depan. FOTO Aziah Azmee

Namun, Syamel enggan ambil pusing kerana ia akan memberikan aura negatif dan mungkin menjejaskan kerjaya andai terlalu difikirkan. Adalah lebih baik dia terus fokus menghasilkan lagu berkualiti.

“Kalau terlalu difikirkan dan ambil kisah dengan setiap komen negatif seperti ini, ia hanya akan melemahkan semangat saya untuk terus berkarya. Oleh itu, lebih baik abaikan saja.

“Saya tidak ada masa untuk memikirkan komen yang tidak membina. Masih banyak lagi yang perlu saya lakukan untuk tunjukkan sejauh mana kebolehan sebagai penyanyi,” katanya.

Bakal melancarkan lagu baharu, ia masih mengekalkan mesej sama mengenai sikap curang dalam percintaan. Bagaimanapun, Syamel menafikan ciptaannya itu adalah sindiran kepada pihak tertentu.

Namun, Syamel tidak dapat berbuat apa-apa andai ada sesetengah pendengar yang mengaitkan kisah dalam lagu itu dengan orang yang mereka kenali.

“Apa yang saya ketengahkan dalam lagu itu adalah hasil pemerhatian sekeliling. Sejak akhir-akhir ini, terlalu banyak cerita mengenai kecurangan pasangan menyebabkan hubungan bermasalah.

PERNAH ‘busking’ sebelum bergelar penyanyi profesional. FOTO Nurul Shafina Jemenon
PERNAH ‘busking’ sebelum bergelar penyanyi profesional. FOTO Nurul Shafina Jemenon

“Lagu ini bersifat umum dan bukan ditujukan pada individu tertentu. Bagaimanapun, saya tidak dapat menghalang pandangan orang selepas mendengar lagu ini nanti,” katanya.

Pemegang trofi Artis Baharu Terbaik Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-22 itu juga berkata, video muzik turut dilancarkan serentak pada hari pelancaran lagu.

Terbabit dengan Konsert Karya Agung Pak Ngah yang bakal diadakan selama dua hari mulai 14 November di Istana Budaya, Kuala Lumpur, Syamel terharu diberikan kepercayaan mendendangkan lagu ciptaan Allahyarham Datuk Suhaimi Md Zain.

“Saya bukan penyanyi lagu etnik kreatif, tetapi kenal dan kagum dengan karya Allahyarham. Saya terkejut, tetapi gembira diberikan peluang menyanyikan karya Pak Ngah.

“Bagi saya, lagu etnik kreatif bukanlah genre yang mudah untuk dinyanyikan. Oleh itu, saya anggap ini cabaran dan sudah terbayang konsep persembahan pada hari itu,” katanya.

Datuk Seri Siti Nurhaliza antara barisan artis yang akan membuat persembahan bersama Orkestra Tradisional Malaysia (OTM).

Selain Siti Nurhaliza dan Syamel, Ernie, Asmidar dan Rojer akan turut membuat persembahan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Oktober 2019 @ 5:40 AM