JUHARI menyifatkan pemilihan artis dibuat bersesuaian dengan konsep utama persembahan yang mengetengahkan lagu berbentuk teater. FOTO Arkib NSTP
JUHARI menyifatkan pemilihan artis dibuat bersesuaian dengan konsep utama persembahan yang mengetengahkan lagu berbentuk teater. FOTO Arkib NSTP
Syanty Octavia Amry


ISTANA Budaya menolak dakwaan tidak menjemput penyanyi Noraniza Idris untuk terbabit sama menjayakan konsert Karya Agung Pak Ngah yang bakal berlangsung pada 14 dan 15 November depan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani berkata, pemilihan artis dibuat bersesuaian dengan konsep utama persembahan yang mengetengahkan lagu berbentuk teater.

“Kita melihat fokus pada lagu dalam konsert ini yang bersesuaian dan tidak hanya fokus pada lagu dibuat untuk seseorang artis.

“Kita ada menghubungi Noraniza malah kalau boleh saya juga mahu menjemput Syura dan Datuk M Daud Kilau untuk terbabit serta tetapi atas sebab tertentu hasrat itu terpaksa dilupakan,” katanya.

Beliau berkata, mereka juga mempunyai bajet terhad dan barisan artis dipilih memberi harga yang berpatutan sesuai dengan bajet disediakan.

“Pada awal perancangan kita memang hendak panggil semua artis yang pernah menyanyikan lagu ciptaan Pak Ngah untuk tampil pada konsert ini.

“Tetapi disebabkan bajet yang terhad kita ubah konsep dan artis yang menerima tawaran ini mereka sudi memberi harga kawan-kawan,” katanya.

Konsert Karya Agung Pak Ngah bakal menampilkan penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Ernie Zakri, Syamel, Asmidar dan Rojer.

Konsert bersama Orkestra Tradisional Malaysia itu akan berlangsung selama dua jam di Panggung Sari, Istana Budaya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Oktober 2019 @ 5:21 PM