AMANI ketika mengulas isu mengenai tayangan filem Motif yang ditarik tayangannya selepas empat hari dimainkan di pawagam baru-baru ini. FOTO/NSTP
AMANI ketika mengulas isu mengenai tayangan filem Motif yang ditarik tayangannya selepas empat hari dimainkan di pawagam baru-baru ini. FOTO/NSTP
Ramlah Zainal


“SAYA bukan pelakon yang ‘special’ pun untuk menerima layanan istimewa pihak pawagam. Semua filem bajet kecil yang bukan bernaung di bawah stesen televisyen seperti Sepet, Terbaik Dari Langit, Pencuri Hati Mr Cinderella juga menerima layanan sama sahaja daripada pihak pawagam sebelum ini,” kata pelakon terkenal Sharifah Amani ketika mengulas isu mengenai tayangan filem Motif yang ditarik tayangannya selepas empat hari dimainkan di pawagam baru-baru ini.

Filem terbitan Wayang Works Sdn Bhd lakonan Sharifah Amani dan Datuk Rosyam Nor yang menjengah pawagam pada 26 September itu didakwa ditarik tayangannya kerana kutipan kurang memberangsangkan.

Pelakon berusia 33 tahun yang selesa membahasakan dirinya Nani itu berkata, hasil perbincangan dengan pihak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) slot tayangan untuk filem Motif kembali diteruskan di pawagam terpilih.

“Alhamdulillah, pihak kami sudah mendapat maklum balas daripada FINAS yang berurusan dengan pihak pawagam untuk meneruskan slot tayangan filem Motif ,” katanya kepada Harian Metro.

Mengulas mengenai status yang dimuat naik di laman Twitter miliknya baru-baru ini, Amani berkata dia bukan bersuara mengenai filem Motif seperti yang diperkatakan ramai.

“Isu yang saya suarakan membabitkan slot tayangan filem tempatan di pawagam bukan perkara baru sebaliknya sudah lama diperjuangkan sejak beberapa tahun lalu.

“Saya tidak mahu bercakap soal kutipan filem kerana sebagai pelakon saya hanya buat kerja sahaja.

“Saya bersuara mengenai isu terbabit kerana berasa bimbang dengan masa depan industri perfileman tanah air,” katanya.

Justeru itu, Amani berharap isu itu mendapat perhatian dan tindakan pihak bertanggungjawab yang diamanahkan tugas berkenaan.

“Saya sudah bawa isu ini kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Gobind Singh Deo dan FINAS.

“Saya berharap pihak yang sudah dilantik untuk menerajui FINAS seperti Pengerusi FINAS, Datuk Hans Isaac; Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Ahmad Idham; panel penasihat iaitu Syafiq Yusof, Bront Palarae serta Adrian supaya menjalankan tugas mereka,” katanya.

Terdahulu, menerusi perkongsian di laman Twitter miliknya, Amani menyuarakan kerja kerasnya dalam menjaga kualiti karya dan perjuangannya sebagai anak seni seolah-olah tidak dipandang dalam industri perfileman tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Oktober 2019 @ 5:50 PM