Norman anggap tidak adil kepada penerbit kecil lain. FOTO ZULFADHLI ZULKIFLI
Norman anggap tidak adil kepada penerbit kecil lain. FOTO ZULFADHLI ZULKIFLI
Amirul Haswendy Ashari


“JANGANLAH langgar filem lain, saya difahamkan ada filem yang diberi slot sehingga 24 panggung sebelum tarikh tayangan, sebab itulah kutipan filem luar biasa!” luah Pengerusi Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Datuk Norman Abdul Halim.

Beliau berkata demikian ketika mengulas isu ‘Sneak Preview’ Langgar Akta? dalam ruangan Cik Pang di Metro Ahad, semalam.

Norman tidak menafikan perkara itu berlaku kerana ada dalam kalangan ahli PFM mengadakan perbincangan secara sulit dengan pihak pemamer.

“Situasi ini menjejaskan penerbit-penerbit kecil lain yang mengikut laluan Skim Wajib Tayang (SWT) dan layak menerima Insentif Tayangan Filem Cereka (ITFC) sehingga maksimum RM500,000.

“Sudahlah mereka (yang terbabit) juga layak menerima rebat ini, kemudian langgar pula tarikh tayangan ditetapkan SWT,” katanya.

Selain itu, tindakan segelintir penerbit dan pemamer ini juga menyebabkan slot tayangan dua minggu untuk filem tempatan dari penerbit lain akan menjadi lebih pendek.

Beliau mengaku PFM sudah menghantar surat bantahan kepada mengenai isu ini malah sudah melakukan tindakan perlu.

“Dari sudut pemamer, saya sokong usaha mereka memberi dorongan seperti ini tapi ia tidak adil kepada penerbit kecil lain.

“Mereka kena faham, Malaysia bukan 100 peratus ‘pasaran bebas’ dan kita bernasib baik memiliki Finas, SWT dan akta yang mengawal pasaran agar adil dengan semua pihak,” katanya.

Beliau turut merayu pihak kementerian Komunikasi dan Multimedia melalui Menteri Gobin Singh Deo mempercepatkan perlantikan Pengerusi dan Ketua Pengarah Finas agar semua isu berkaitan dapat diperhalusi dengan segera.

Katanya, PFM tidak kisah siapa dilantik asalkan segala kepincangan berlaku di dalam industri perfileman dapat ditangani segera.

“Hala tuju Finas pun belum nampak, termasuk isu yang kucar kacir dalam industri. Biar insan dilantik boleh bantu industri tapi paling penting ambil peduli dari peringkat akar umbi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 November 2018 @ 3:18 PM