SHERRY Al Hadad mohon maaf kerana menari keterlaluan pada sebuah program televisyen bulan lalu. FOTO Arkib NSTP
SHERRY Al Hadad mohon maaf kerana menari keterlaluan pada sebuah program televisyen bulan lalu. FOTO Arkib NSTP
Syanty Octavia Amry


PENGACARA dan pelakon, Sherry Al-Hadad memohon maaf jika ada segelintir warganet yang mengecam tindakannya menari keterlaluan pada sebuah program televisyen bulan lalu.

Sherry, 35, berkata, dia hanya sedar perkara itu selepas menonton kembali program berkenaan.

“Saya adalah seorang pelakon teater dan apabila membabitkan diri dalam program seperti itu apa yang dilakukan hanyalah untuk fokus dan memberikan terbaik selain mahu penonton terhibur.

“Tidak sangka pula ia terlihat keterlaluan sehingga menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan penonton dan warganet,” katanya.

Katanya, apabila terbabit dalam program berkenaan dia menjadikan program Rupaul sebagai rujukan sehingga begitu obses dan terikut cara dalam program itu.

“Saya minta maaf kerana terlupa diri dan batas sebagai seorang wanita. Saya juga terlupa program berkenaan disiarkan untuk tayangan umum.

“Saya begitu bersungguh-sungguh kerana sudah dua tahun berturut-turut kami kalah dengan lelaki, jadi saya fikir apa pun jadi kali ini mahu menang.

“Itu yang sampai lupa diri dan menari sampai naik ‘sheikh’,” katanya.

Terdahulu, program yang diberi nama Drop The Beat Extra itu turut menampilkan Sherry sebagai pengacara bersama Dennis Yin.

Sherry menjadi ketua kumpulan selebriti wanita yang menampilkan Nabila Huda dan Ernie Zakri. Manakala Dennis menjadi ketua kumpulan lelaki, yang menampilkan Aman Ra dan Sean Lje.

Sherry kemudiannya menunjukkan bakat tariannya menerusi lagu Don’t Stop Me Now oleh Queen.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2019 @ 9:31 PM