Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Pelakon Sherry Al Hadad dipilih menjadi pengacara Muzik Muzik 32 bagi menggantikan pelakon Amyra Rosli yang terpaksa menarik diri atas alasan kesihatan.

Sherry, 32, berkata dia bakal memulakan tugas itu mulai esok bersama Hefny Sahad yang bersiaran secara langsung jam 11 malam di TV3.

"Alhamdulillah tawaran ini datang tanpa disangka. Saya menganggap ia satu penghormatan buat saya apabila dipilih mengacarakan program berprestij itu.

"Hanya mereka saja tahu kenapa saya dipilih. Secara peribadi mungkin disebabkan saya pernah mengacarakan beberapa program hiburan membuatkan mereka tertarik.

"Apa pun saya cuba menggalas tanggungjawab baru ini dengan sebaik mungkin. Apatah lagi sebelum ini program itu dikendalikan oleh beberapa pengacara hebat," katanya kepada Harian Metro.

Sherry yang juga pengacara program Perang Bibir di TV9 cuba menjadi diri sendiri tanpa perlu terikut-ikut pengacara sebelumnya.

Pada masa sama, Sherry bersedia menerima apa saja maklum balas dan kritikan daripada penonton.

"Saya percaya setiap apa dilakukan pasti ada yang suka dan tidak. Jadi saya tak boleh melatah. Sebaliknya saya perlu tampilkan sesuatu yang berbeza.

"Memandangkan program ini mempunyai pengikut tersendiri, jadi saya berharap mereka boleh menerima kehadiran saya," katanya.

Difahamkan Amyra membuat keputusan menarik diri selepas disahkan hamil anak sulung pada minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 April 2017 @ 4:24 PM