SAIFUL bersama isteri dalam program travelog Islamik, Kembara Haramain.
SAIFUL bersama isteri dalam program travelog Islamik, Kembara Haramain.
Sudirman Mohd Tahir


BERPELUANG mengerjakan umrah buat kali kedua bersama isteri, Khairul Normaaidah Zali atau Aida Gadis Melayu dan dua anak memberikan pengalaman berbeza buat bekas penyampai berita TV3 dan pengacara program Malaysia Hari Ini (MHI), Saiful Nizam Ismail.

Menurut Saiful, selain fokus ibadat, dia bersama isteri ditugaskan mengacarakan program travelog Islamik, Kembara Haramain yang ditayangkan setiap Sabtu, jam 9.30 malam di saluran YouTube dan Facebook Angsana Go Travel.

Bagi Saiful, beribadat dan bekerja dalam satu masa adalah cabaran yang perlu dilalui selain berdepan beberapa masalah sepanjang proses rakaman dijalankan.

“Sejujurnya, apabila ke Madinah dan Makkah ada waktu sukar dan sebagainya. Macam saya, ini pengalaman kedua membawa anak. Kali pertama dulu saya bawa anak sulung dan kali ini kedua-duanya sekali. Diakui memang sukar sebab masing-masing perlu fokus umrah.

“Apabila ke Masjid Nabawi, saya bawa anak lelaki untuk masuk ke Raudhah. Memang kena beratur lama dan berhimpit dengan jemaah lain. Ia cabaran besar buat mereka yang membawa anak kecil. Alhamdulillah, Allah permudahkan.

“Pada masa sama, saya perlu menjalani penggambaran. Kamera pula tak boleh bawa masuk sebab ia kawasan larangan. Jadi, kami kena pandai sorok. Pernah sekali kamera dirampas pihak berkuasa. Semua data dan rakaman dibuang.

“Disebabkan itu, kami terpaksa buat semula semua. Sangat mencabar. Kalau program lain, kita ada masa sesuai untuk buat rakaman. Macam kami, kena buat sekali saja. Setiap detik itu sukar diulang,” katanya.

Saiful berkata, program empat episod itu memaparkan perjalanannya bersama keluarga menunaikan umrah dan menziarah lokasi bersejarah di Kota Makkah dan Madinah.

Pada masa sama, program itu membawa penonton menyaksikan beberapa lokasi di Madinah dan Makkah yang jarang diziarahi jemaah.

“Program ini memaparkan sisi lain yang jarang dipertontonkan apabila jemaah ke Makkah dan Madinah. Ini juga program pertama saya mengacarakan program berbentuk Islamik. Dalam erti kata lain, program ini lengkap dari segi pakej yang kami ambil dan lokasi yang dikunjungi.

“Ini juga pengalaman pertama saya dan isteri disatukan sebagai pengacara dalam program travelog Islamik yang turut disertai dua anak.

“Saya berpeluang menziarahi tempat menarik yang orang jarang tahu seperti Bukit Magnet, Taman Uhud dan lokasi tersembunyi di Taif. Semua perincian itu memberi satu lagi pengalaman dan ilmu baharu,” katanya.

Saiful menyifatkan umrah kali ini nikmat yang tidak terhingga apabila dapat menyempurnakan umrah dan ziarah dengan lancar.

“Biarpun berdepan cabaran ketika menjalani penggambaran, saya anggap ini nikmat yang Allah nak beri. Pada masa sama, cabaran nak menguruskan anak yang belum tahu apa nak buat.

“Paling penting, impian saya dan isteri untuk mengacarakan program sebegini tercapai. Insya-Allah, kalau diberi peluang lagi memang merancang meneruskan program seumpama ini di lokasi percutian lain seperti Balkan dan Russia.

“Kita nak tahu kehidupan masyarakat Islam di sana. Lagipun, jarang kita menyaksikan program travelog keluarga yang memaparkan percutian Islamik,” katanya.

Biarpun tidak lagi muncul di kaca TV, Saiful berharap program seumpama itu mendapat sambutan sekali gus menarik minat pihak penerbitan untuk menerbitkan untuk siaran TV.

“Ramai bertanya, kenapa saya tidak keluar TV lagi? Saya melihat perkara ini daripada perspektif positif.

“Dalam zaman serba moden sekarang, bukan kaca TV semata-mata tetapi program di platform digital juga sentiasa dinantikan. Kalau program ini dapat sambutan, mana tahu ia akan ke kaca TV pula,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mei 2019 @ 5:00 AM