KOYAMOO (kanan) kebiasaannya berangkat menunaikan umrah pada Februari.
KOYAMOO (kanan) kebiasaannya berangkat menunaikan umrah pada Februari.
Oleh Muhamaad Razis Ismail


Kuala Lumpur: "Biarpun kerap berulang-alik ke Makkah untuk menunaikan umrah, perasaan rindu untuk ke sana lagi tetap dirasai setiap kali pulang ke Malaysia," kata Mohd Soffe Ismail, 45, yang hampir 20 kali menunaikan ibadah umrah sejak 2013.

Sebagai seorang juruukur bebas, dia tidak menyangka diberi rezeki untuk bertugas sebagai mutawif separuh masa di sebuah syarikat pengendali umrah sejak 2019 sekali gus diberi peluang untuk menunaikan umrah di Makkah hampir setiap bulan.

Mohd Soffe berkata, dia pertama kali menunaikan umrah di Makkah pada 2013 sebagai jemaah biasa sebelum ditawarkan menjadi mutawif separuh masa enam tahun kemudian.

"Saya sendiri tidak pernah terfikir dapat menunaikan umrah dengan kerap seperti ini kerana menyedari ia memerlukan modal yang besar. Paling tidak sekurang-kurangnya, sekali seumur hidup.

"Saya bersyukur diberi peluang untuk turut menunaikan umrah sambil bekerja sebagai mutawif," katanya.

MOHD Soffe (kiri) bersama ahli keluarga di Tanah Suci.
MOHD Soffe (kiri) bersama ahli keluarga di Tanah Suci.

Menurutnya, sejak menjadi mutawif, dia kerap berulang-alik ke Makkah hampir setiap bulan untuk membawa jemaah menunaikan umrah. Pernah satu ketika, dalam satu bulan saya berpeluang ke sana sebanyak tiga kali. Oleh kerana masih bekerja tetap sebagai juruukur bebas, saya perlu bijak menguruskan masa. Kadangkala saya menolak dengan baik kerana perlu urus beberapa hal berkaitan pekerjaan hakiki yang ditinggalkan ketika membawa jemaah menunaikan umrah," katanya.

Dia mengakui setiap kali menunaikan perasaan sedih dan rindu untuk kembali menunaikan umrah di Makkah akan tetap dirasai seperti kali pertama berbuat demikian pada 2013.

"Perasaan itu akan berulang kali dirasai apabila berada di dalam kapal terbang untuk pulang ke Malaysia kerana sudah mula teringatkan Tanah Suci Makkah dan Madinah. Kadangkala rasa rindu itu terbawa ke dalam mimpi.

"Saya ada bertanya kepada jemaah yang kerap menunaikan umrah dan mereka juga memberi jawapan sama," katanya.

Katanya, antara pengalaman yang tidak boleh dilupakan adalah apabila berpeluang menunaikan umrah ketika bulan Ramadan pada 2019 bersama keluarganya sebagai jemaah.

"Saya dapat rasakan kemeriahan sambutan Ramadan di sana. Untuk berbuka berpuasa kita tidak perlu membeli makanan kerana ramai yang berlumba-lumba untuk bersedekah," katanya.

Jelasnya, berpeluang menunaikan umrah hampir 20 kali adalah rezeki dan jemputan Allah kepada dirinya.

"Jika tiada jemputan ini, dengan kemampuan sedia ada, hampir mustahil saya dapat menunaikan umrah sebanyak ini. Saya manfaat peluang ini untuk melakukan umrah badal bagi individu yang sudah meninggal dunia dan uzur.

"Bagaimanapun, ia bukan tiket untuk saya menunjuk-nunjuk. Setiap kali ke Tanah Suci Makkah, saya sentiasa meletakkan diri menjadi jemaah yang pertama kali ke sana supaya dapat memberi fokus sepenuhnya terhadap ibadah umrah," katanya.

MOHD Soffe bersama jemaah yang dibawanya ketika  bertugas sebagai mutawif.
MOHD Soffe bersama jemaah yang dibawanya ketika bertugas sebagai mutawif.

Setiap 2 tahun ke Tanah Suci tanpa jemu

"Saya tidak pernah jemu biarpun sudah beberapa kali menunaikan umrah," kata pesara Tenaga Nasional Berhad (TNB), Koyamoo Ali, 67.

Koyamoo mengakui pelbagai kemudahan lengkap di Makkah dan Madinah yang memberi keselesaan kepadanya dan jemaah lain menjadi tarikan untuk berulang kali menunaikan umrah.

Katanya, selepas bersara, setiap dua tahun sekali, dia bersama isteri akan mengambil peluang untuk menunaikan umrah.

"Biarpun sudah beberapa kali ke sana, saya tidak pernah jemu malah berharap berpeluang ke sana lagi suatu hari nanti.

"Kebiasaannya saya akan ke sana pada Februari kerana cuacanya yang dingin, memberi keselesaan untuk melaksanakan umrah.

"Selain itu, pelbagai fasiliti disediakan termasuk yang terbaru aplikasi Nusuk memudahkan jemaah untuk memasuki Raudah.

"Sebelum ini, sukar namun dengan aplikasi ini, ia banyak membantu terutama jemaah warga emas," katanya.

Menurutnya, selain menunaikan umrah, Koyamoo turut mengambil kesempatan untuk menziarahi ke beberapa lokasi di sekitar Madinah dan Makkah untuk mengubati kerinduan terhadap Rasulullah.

"Selain itu, kami ke beberapa negara berhampiran termasuk ke Turkiye, Palestin dan Mesir.

"Ziarah ini dapat membantu untuk mengetahui lebih mendalam berkenaan sejarah ketamadunan Islam pada suatu ketika dahulu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mac 2023 @ 8:00 AM