MIZZ Nina dalami agama setiap masa. FOTO: Halimaton Saadiah Sulaiman
MIZZ Nina dalami agama setiap masa. FOTO: Halimaton Saadiah Sulaiman
Norhayati Nordin


BENARLAH bagai dikata sesungguhnya hidayah itu milik Allah. Hamba yang terpilih akan memilikinya. Ia nyata boleh dikaitkan dengan perubahan kehidupan yang kini dilalui penyanyi lagu R&B dan ‘dance pop versatile’ pada era 2000, Mizz Nina, 39.

Bukan sekadar berubah dengan penampilan berhijab dan berpakaian longgar menutup aurat, tetapi Mizz Nina juga terus melupakan karier seninya.

Tidak ada langsung perasaan rindu walau sekelumit, isteri penyanyi Noh Salleh ini berkata, dia semakin selesa menyertai aktiviti dakwah dan misi kemanusiaan.

Mizz Nina ketika ditemui baru-baru ini berkata, dia teruja berkongsi pengalaman dan menarik perhatian generasi masa kini untuk menghargai peluang mengerjakan umrah dan haji pada usia muda.

Katanya, perasaan takut untuk berhadapan ujian ketika di Tanah Suci itu tidak dinafikan, tetapi yakinlah tidak semua orang terpilih dan mendapat peluang.

KETIKA menyertai misi kemanusiaan di Lubnan.
KETIKA menyertai misi kemanusiaan di Lubnan.

“Jangan berasa takut untuk ke Tanah Suci mengerjakan umrah atau haji hanya kerana banyak mendengar cerita orang. Pengalamannya berbeza-beza.

“Bagaimanapun, saya sentiasa merindui untuk dijemput oleh Allah SWT ke Makkah setiap masa bagi mengerjakan umrah.

“Bagi saya, ‘percutian’ yang indah sekiranya dapat berkunjung ke Makkah dan Madinah. Apatah lagi, dapat mengerjakan umrah bersama seisi keluarga. Untuk saya, umrah mengeratkan hubungan kekeluargaan kerana memberi satu peluang untuk percutian dan melakukan ibadat bersama-sama,” katanya.

Menurut Mizz Nina, dia dan keluarga jarang bercuti bersama walaupun destinasinya di negara jiran kecuali mereka mengerjakan umrah.

Berkongsi pengalamannya mengerjakan umrah, Mizz Nina berkata, kali pertama dia mengerjakan umrah ketika berusia tujuh tahun.

“Ketika itu, saya masih kanak-kanak yang tidak tahu apa-apa dan hanya mengikut keluarga. Begitu juga ketika berusia 16 tahun, saya pergi umrah tetapi masih tidak tahu apa-apa. Saya sekadar pergi dengan keluarga dan ikut saja apa yang orang buat. Pada masa itu, saya tidak ada ilmu langsung dan banyak tengok aktiviti yang orang lain buat,” katanya.

Nina berkata, rezeki dapat mengerjakan haji pada usia 33 tahun pada 2013 bersama suami banyak membantunya untuk berubah ke arah kebaikan.

NOH Salleh dan Mizz Nina.
NOH Salleh dan Mizz Nina.

“Kini, saya makin tenang apabila mendalami ilmu agama setiap masa. Saya belajar mengaji al-Quran serta menghadiri banyak majlis ilmu. Ia sesuatu yang sangat hebat.

“Alhamdulillah, kini saya mengharapkan Allah SWT memberi peluang dan kesempatan melakukan haji buat kali kedua jika ada rezeki,” katanya.

Nina berkata, dia pernah berasa takut tidak dapat lengkapkan setiap rukun dengan betul ketika mengerjakan haji sebelum ini.

Katanya, untuk sentiasa tenang dan yakin dengan apa sudah dilakukan, dia suka duduk berkongsi pandangan dengan orang yang positif.

Mizz Nina berkata, pesanan orang supaya menjaga mulut dan tutur bicara itu sangat penting diberi perhatian walau di mana saja berada dan bukan setakat ke Makkah saja.

IKHLASKAN HATI SERTAI MISI KEMANUSIAAN

Perubahan dalam kehidupan Mizz Nina kini begitu mendapat perhatian baik masyarakat. Rata-ratanya menyokong segala aktiviti kemanusiaan yang dilakukannya. Hingga Mizz Nina juga dilabel sebagai ikon Islamik yang prihatin pada misi kemanusiaan dengan kesanggupan menyertai penghantaran bantuan ke Turki, Syria, Lubnan dan Palestin.

Walaupun sedar berhadapan risiko nyawa, Mizz Nina berkata, pembabitan sama suaminya, Noh adalah pembakar semangat untuk dia lebih berani, cekal dan tidak gentar.

MIZZ Nina turut aktif dalam misi kemanusiaan dengan  menyertai penghantaran bantuan ke negara bergolak
MIZZ Nina turut aktif dalam misi kemanusiaan dengan menyertai penghantaran bantuan ke negara bergolak

Berbicara mengenai misi kemanusiaan ke Turki, Syria, Palestin dan Lubnan. Mizz Nina berkata, hatinya sangat tersentuh melihat penderitaan kanak-kanak serta remaja.

“Saya pernah melawat satu hospital untuk misi penghantaran ubat-ubatan, saya perlu cekal menahan diri supaya tidak menangis.

“Sebagai sukarelawan misi kemanusiaan, kita tidak boleh tunjuk sedih ketika menghantar bantuan kerana mangsa tidak menagih simpati sebaliknya kekuatan semangat berjuang.

“Malah, niat kena ikhlas yang tujuan ke sana (negara bergolak) hanya menghantar bantuan seperti makanan, ubat-ubatan, kemanusian dan pendidikan,” katanya.

Menurut Mizz Nina, golongan muda yang mahu menyertai misi kemanusiaan diingatkan memahami niat dan tujuan sebenar.

Katanya, usah menjadikan sesuatu misi kemanusiaan disertai untuk mengejar nama sebaliknya ikhlas melakukannya kerana Allah.

Menurutnya, sebagai rakyat Malaysia seharusnya semua orang banyak bersyukur kerana Allah masih memberi keamanan untuk negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2019 @ 6:00 AM