ANITA tidak boleh bekerja dalam keadaan terlalu tertekan. FOTO Nurul Shafina Jemenon
ANITA tidak boleh bekerja dalam keadaan terlalu tertekan. FOTO Nurul Shafina Jemenon
Amirul Haswendy Ashari


PELAKON Anita Baharom mendedahkan dia menghidapi sejenis penyakit dikenali Sistemik Lupus Eritematosus (SLE) atau Lupus.

Anita ketika ditemui selepas Himpunan Artis Sayang al-Quran 4.0 (HASA 4.0) di Istana Budaya, berkata dia menyedari menghidap penyakit itu sejak beberapa tahun lalu.

"Saya dapat tahu mengidap penyakit ini selepas berlaku satu insiden beberapa tahun lalu dan apabila menjalani pemeriksaan di beberapa hospital, pakar mengesahkan saya menghidap SLE Positif.

"Saya tidak boleh bekerja dalam keadaan terlalu tertekan dan jika tidak, sebahagian urat saraf yang menggerakkan anggota tubuh akan hilang fungsi secara tiba-tiba.

"Contohnya ketika acara HASA 4.0 tiba-tiba saja satu daripada jari saya menjadi lemah dan tidak boleh bergerak.

"Saya dapat merasai urat di bahagian itu menjadi sangat 'tegang' apabila cuba menggerakkannya," katanya yang juga ahli jawatankuasa HASA 4.0.

Bagi mengelak situasi itu mengganggu perjalanan acara pada malam itu, dia sekadar duduk berehat dan cuba fokus untuk menenangkan diri.

Anita pada awalnya enggan berkongsi mengenai penyakit dihadapinya itu namun akur berkongsi pengalaman dilalui selepas dipujuk Harian Metro, mendedahkan ia bukan kejadian pertama yang berlaku ke atas dirinya.

Antaranya, selepas selesai penggambaran filem Keluarga Iskandar The Movie di Johor Bahru, sekitar Mac lalu.

"Selepas habis penggambaran, saya sangat penat dan sebaik saja pulang ke rumah dari Johor Bahru, tubuh badan mulai lemah.

"Saya memberitahu suami supaya bersedia membawa saya ke hospital bila-bila masa kerana bimbang akan diserang penyakit itu sehingga melarat," katanya.

Katanya, selepas itu dia terus terbaring lemah selama dua minggu sehingga terpaksa dipapah suami untuk bergerak di dalam rumah kerana tubuhnya 'lumpuh' sepenuhnya.

Bagaimanapun, dia membuat keputusan enggan ke hospital sebaliknya hanya bergantung kepada ubat homeopati yang sedia ada di rumah.

Pelakon dikenali melalui drama Dunia Baru itu berharap situasi dihadapinya tidak mengundang rasa kurang senang segelintir pihak.

"Apa boleh saya katakan, setakat ini masih mampu menguruskan diri selain banyak dibantu suami," katanya.

Dia bersyukur pasangannya, Mohd Ismadi Ismail seorang suami soleh yang sering membantu mengurus rumah tangga.

Malah sepanjang Ramadan ini, suaminya yang menjadi tukang masak untuk sahur selain mengurus rumah tangga dan anak.

"Kalau saya tengah cuci pinggan mangkuk pun dia akan suruh berehat," katanya bersyukur dikurniakan suami yang sangat penyayang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2019 @ 2:59 PM